Parti Perlukan Orang UMNO, Bukan Sekadar Ahli Yang Meramaikan


KUALA LUMPUR, 30 Dis – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti memerlukan orang UMNO dan bukannya sekadar ahli yang meramaikan tetapi lari apabila ‘bahtera’ dilanda badai.

Justeru jelas beliau, mereka yang berminat menjadi ahli UMNO perlu diberi pendedahan dan sekiranya perlu diberi latihan agar mereka tahu erti perjuangan sebenar UMNO.

“Perjuangan parti kita ini sudah lama.. sudah lebih 70 tahun… dulu sebelum merdeka tidak adapun wakil rakyat mahupun Ahli Parlimen, partipun tidak kaya tetapi kita mantap sebab semua orang faham erti perjuangan nasib bangsa melayu.

“Kenapa dalam UMNO ada KEBANGSAAN? Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu… parti lain tidak ada KEBANGSAAN. Ini kerana pertubuhan ini untuk semua orang Melayu tapi sayangnya sekarang yang jadi ahli tidak faham konsep perjuangan UMNO… masuk UMNO sebab suka orang itu suka orang ini… dan paling tidak elok masuk UMNO sebab ada ‘kelas F’.. itu lagi tidak boleh pakai.. jadi kita kena kembali untuk beri kesedaran kepada ahli UMNO.. bagaimana ditubuhkan.. apa perjuangan UMNO.

“Orang yang nak jadi ahli kita hantar ke pusat latihan (ILMU) supaya mantap dan mereka tahu perjuangan UMNO.. kita nak orang UMNO bukan ahli UMNO. Dia orang UMNO.. keluarga UMNO… supaya dia faham dan mantap jadi tidak timbul bila jadi hal sudah ‘terpeleot’… baru tujuh bulan kalah dah kelam kabut,” tegas Mohamad.

Beliau turut membidas mereka yang menuduh parti UMNO ataupun Presiden UMNO kononnya tiada hala tuju.

“Kenapa salahkan pemimpin tiada hala tuju. Hala tuju UMNO sudah ada dalam perlembagaan UMNO.. itu hala tuju kita.. takkan tidak faham.. yang bercakap ni di peringkat pemimpin pula tu.. hala tuju UMNO sudah ada dalam perlembagaan parti iaitu yang akan menjaga maruah, martabat bangsa Melayu, parti yang akan terus berjuang pertahankan agama Islam, martabatkan Bahasa Melayu dan Raja Melayu. Itu hala tuju kita… tidak ada hala tuju baru pun.. yang lain tu cara untuk mantapkan parti tapi hala tuju sudah ada dalam perlembagaan.

“Jadi janganlah cakap tidak ada hala tuju.. kita sebagai pemimpin sendiri tidak faham apa itu hala tuju UMNO… sebab itu kita mesti mantapkan ‘akidah’ orang UMNO kepada UMNO. Itu yang penting.. mana boleh cakap tidak ada hala tuju.. sudah lama jadi menteri… cakap tidak ada hala tuju.. itu sangat salah.

“Bagi saya hala tuju baca perlembagaan parti.. itulah hala tuju parti.. selagi ada orang Melayu, selagi itulah kita berfungsi untuk pertahankan martabat dan maruah bangsa Melayu,” bidas beliau.

Mohamad turut berkata, ahli UMNO tidak perlu menangisi mereka yang telahpun meninggalkan parti atas apa alasan pun kerana setiap yang pergi itu pasti ada penggantinya.

“Kita tidak tahu apa dalam pemikiran mereka.. mungkin terdesak.. cuma satu sahaja nasihat saya, sudah tinggalkan UMNO janganlah maki UMNO pula. Jangan kata tidak ada hala tuju.. kitapun ada maruah juga. Kita berpisah dengan cara baik.. bagi tahu sajalah nak undur diri sebab tidak boleh cari makan lagi.. kan senang cerita… tidak perlu la cakap buruknya UMNO.. 30, 40 tahun jadi ahli UMNO takkan tiba-tiba buruknya UMNO,” sinisnya lagi.

Ketika ditanya bagaimanakah beliau mahu kembali memperkasakan UMNO Mohamad menjawab, semua pihak harus memainkan peranan dan tidak sekadar berharap kepada Presiden dan barisan kepimpinan tertinggi parti.

“Kita juga akan seragamkan cara pengurusan … biar negeri-negeri diberi lebih kuasa mentadbir, jadi berpakatlah sama-sama kerana hanya mereka (di negeri masing-masing) yang tahu masalah mereka. Jadi mereka tahu ubat yang perlu dicari.. saya tidak boleh tahu masalah di Johor contohnya tapi orang Johor tahu dan mereka perlu ubat sendiri penyakit mereka.. sebab itu tagline kita ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’.. paling penting bersatu.. kalau bersatu semua tidak ada masalah…

“22 ribu cawangan.. mana ada parti dalam negara ini mempunyai cawangan sebanyak itu.. ada 3.6 juta ahli.. o.klah, kita sedang buat pemutihan.. tolak la sejuta… ada lagi 2.6 juta.. ada parti yang ada 2.6 juta? Kalau setiap cawangan memainkan peranan memantapkan operasi, kukuhkan parti, saya percaya esok pagi boleh buat PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dan kita boleh menang.

“Tapi ini tidak. Kita ada banyak cawangan… lebih 22 ribu… tapi duduk selesa.. konon kita tidak akan kalah… orang kata mustahil BN (Barisan Nasional) dan UMNO boleh kalah dan akhirnya kita kalah.. kalah boleh bermacam-macam sebab… bukan disebabkan oleh Presiden atau apa ke.. kalah disebabkan isu tempatan.. sebab sendiri nak kalah pun ada.. nak padankan muka kawan-kawan… padan muka kau.. sudahnya padan muka semua,” ujar Mohamad.

Justeru, UMNO perlu berubah dan menjuarai hati rakyat agar UMNO kembali berada di hati rakyat. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.