Jangan Biarkan Akar Umbi Dimakan Anai-Anai – Mohamad Hasan


KUALA LUMPUR, 30 Dis – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan amat yakin UMNO mampu kembali bangkit kerana semangat di akar umbi masih utuh malah semakin kukuh.

Walaupun mengakui berhadapan dengan masa sukar kerana mengemudi parti keramat ini di kala UMNO jatuh, tetapi selagi akar umbi kukuh beliau amat yakin segala kesusahan itu mampu dilalui.

“Saya mengakui sedang menggalas tugas yang besar dalam keadaan UMNO terumbang-ambing setelah hilang kuasa selepas 61 tahun mentadbir negara. Ini merupakan satu cabaran untuk saya dan rakan-rakan dalam pengurusan parti termasuk di semua peringkat untuk pulihkan semula semangat ahli.

“Kita harus mencari cara bagaimana untuk bangun dan bangkit semula tapi apa yang penting adalah semangat jangan pudar. Setakat ini saya mendapati semangat di akar umbi bertambah tinggi untuk melihat UMNO kembali bangkit dan bangun semula. Yang ada sedikit cabaran adalah di peringkat atasan yang semangat mereka nampak goyang.

“Inilah cabaran yang perlu ditangani dan dilalui bersama-sama rakan-rakan untuk ‘regroup’ balik, bangun dan bangkit untuk susun atur strategi bagi meneruskan perjuangan kerana pilihan raya bukan setakat PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) sahaja.. jadi jangan putus asa,” ujar beliau dalam satu wawancara bersama UMNO-Online.

Tambah Mohammad, UMNO harus mengambil iktibar dan hikmah di sebalik kekalahan pada PRU yang lalu dan seterusnya memperbaiki segala yang lompong.

“Kita baru kalah sekali terus putus asa.. orang lain menunggu sampai 60 tahun. Jadi kita harus gunakan kekalahan pertama kali ini untuk mengkaji dan mentelaah hikmah yang ada… mengapa kita kalah.. apa sebab kalah… apa punca… sebab orang tua-tua cakap sakit berpunca mati bersebab. Jadi mesti ada punca mengapa kita kalah.

“Cari punca dan buat ‘post-morterm’ dan buat susun atur semula. Yang penting saf jangan berpecah-pecah. Kalau saf bersatu, saya yakin kita tidak akan ada masalah. Jadi, cabaran sekarang adalah menyatu-padukan.

“Akar umbi memang sudah kuat… bersemangat tapi ada peringkat lapisan yang longgar sana-sini yang perlu ketatkan dan mantapkan untuk sama-sama memahami apa yang perlu dibuat dan perjuangan ini bukan satu destinasi tapi adalah satu perjalanan,” ujar beliau lagi.

Mohamad turut mengingatkan agar ahli UMNO jangan terpengaruh dengan propaganda yang dimainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kononnya UMNO bakal berkubur.

“UMNO tidak akan berkubur sebab UMNO mantap di akar umbi. Ada dengar cawangan atau bahagian UMNO dibubarkan? Tidak ada.. sebaliknya mereka yang di sebelah sana yang nak buat mesyuarat cawangan tidak cukup orang.

“Di peringkat cawangan dan bahagian, semangat mereka berkobar-kobar. Akar umbi yang buat pokok itu subur.. yang saya takut kalau akar umbi ini yang mati.. tapi UMNO tidak.. akar umbi UMNO kuat.. yang layu sehelai dua.. yang dahan patah itu.. patah tumbuh hilang berganti… jadi jangan takut. Satu buah patah tidak mengapa yang penting akar umbi subur..

“…jangan akar umbi dimakan anai-anai.. kalau akar umbi dimakan anai-anai itu susah… tapi akar umbi UMNO kuat gagah perkasa dan mereka bersemangat. Itu satu kelebihan dan baik untuk UMNO. Orang nak kata berkubur ke mati ke.. terpulanglah.. kita tengoklah siapa yang kena kubur,” sindir Mohamad. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.