Menteri PH Diminta Beri Penjelasan Berkenaan Penjualan Aset TH

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil meminta menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertanggungjawab berkaitan Tabung Haji (TH) untuk memberi penjelasan berkaitan penjualan sahamnya.

Katanya, jika TH dipaksa menjual syarikat-syarikat ini sekarang semasa harga sahamnya rendah, TH yang akan rugi nanti bila harga saham syarikat-syarikat ini meningkat semula.

“Kita sepatutnya menjual saham pada masa harga tinggi, bukannya masa harganya rendah.

“Dalam kes penjualan aset TH ini sekarang, yang untung ialah pihak yang membeli dan yang ruginya ialah TH.

“Sudahlah dividen TH nanti berkemungkinan besar akan berkurangan, aset berharga sudah tiada,” katanya menerusi laman facebooknya hari ini.

Seperkara lagi, katanya, kita tidak boleh nilaikan kekuatan kewangan sesuatu syarikat semata-mata berdasarkan kepada harga saham semasa.

“Semua orang yang berpengalaman membuat penilaian pelaburan tahu akan hal ini.

“Harga saham sesuatu syarikat akan turun naik setiap hari oleh pelbagai faktor luaran atau dalaman, namun jika asas perniagaan syarikat itu baik, kita perlu kekalkan pegangan pelaburan ke atas syarikat tersebut, lebih-lebih lagi apabila syarikat tersebut terbukti mempunyai rekod bayaran dividen yang konsisten setiap tahun.

“Dan, betullah seperti yang Dato’ Seri Najib kata: TH ini Tabung Haji, bukan Tabung Harapan.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.