Kestabilan Politik Negara Perlukan Kesepaduan Kelompok Teras – Annuar


KUALA LUMPUR, 28 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata keutuhan dan kestabilan politik negara memerlukan kepada kemantapan dan kesepaduan politik kelompok teras iaitu di kalangan rumpun Melayu, Bumiputera dan umat Islam di Malaysia.

Justeru itu katanya, apa sahaja tindakan ke arah kemantapan dan kesepaduan kelompok teras tersebut dalam kontek toleransi dan keharmonian pelbagai kaum serta agama, hendaklah didokongi bersama.

“UMNO selari dengan Fasal 3, Perkara 3.1 hingga 3.6 perlembagaannya akan terus berjuang dengan hala tuju yang cukup jelas, iaitu berjuang mendokong cita-cita kebangsaan Melayu, demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

“Dalam usaha mencapai cita cita tersebut, saf pimpinan UMNO yang kini dipimpin YB Datuk Seri Utama Haji Mohamed Hassan dan MKTnya (Majlis Kerja Tertinggi) akan menumpukan usaha memantapkan struktur dan organisasi 191 Bahagian UMNO dan 22,000 Cawangannya di seluruh negara,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya lagi, dalam masa yang sama UMNO akan terus menjuarai isu membela rakyat.

Dalam perkembangan yang berkaitan katanya juga, UMNO kini sedang melaksanakan program pemutihan dan kemaskini data keahlian di seluruh negara yang dijangka selesai akhir bulan Disember ini.

“Gerakan ini melibatkan tindakan mengeluar dan membatalkan dari senarai keahlian mereka yang sudah meninggal dunia, ahli yang gagal dikesan dan ahli yang tidak lagi bersama UMNO.

“Proses ini akan menjadikan UMNO lebih bersih, kemas dan tersusun. MKT juga akan memutuskan jadual Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan dan Persidangan Perwakilan Bahagian bagi tahun 2019 tak lama lagi, menepati syarat dan peraturan perlembagaan parti dan Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

Justeru Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyeru seluruh saf pimpinan semua peringkat dan sayap fokus secara bersepadu bersama pucuk pimpinan untuk membina jati diri perjuangan serta organisasi UMNO yang lebih perkasa.

“Seluruh saf pimpinan semua peringkat dan sayap diseru memberi fokus secara bersepadu bersama pucuk pimpinan untuk membina jati diri perjuangan dan organisasi UMNO yang lebih perkasa, mantap.

“Serta membuat persiapan paling rapi dan bangkit bersama rakyat ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15),” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.