Kenapa Kerajaan Cuba Pesongkan Rakyat Seolah Kematian Adib Terbela?

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan kenapa pihak Kerajaan menerusi Peguam Negara cuba memesongkan pandangan rakyat yang menunjukkan seakan-akan kematian anggota bomba, Arwah Adib Mohd Kassim terbela walhal pembunuhnya masih bebas?

Katanya, beliau amat simpati dengan keluarga Arwah Adib yang sehingga kini tertanya-tanya siapakah pembunuh anak mereka?

“Saya meminta pihak polis menyelesaikan siasatan fail kes ini dengan segera dan pihak Pejabat Peguam Negara sebagai Pendakwaraya perlu tegas menerusi siasatan Pegawai Penyiasat Polis bagi menentukan sama ada Arwah Adib dibunuh, siapa tertuduhnya dan bukan menggunakan Prosiding Inquest Kematian oleh sebuah Mahkamah Koronor bagi tujuan bagaimans Arwah Adib meninggal dunia dan bukan mencari Pembunuhnya.

“Rakyat sekarang melihat samada Kerajaan ini mematuhi ‘Rule of Law’ atau hanya menggunakan prosidur undang-undang bagi melenggah-lenggahkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklumbalas setelah membaca menerusi keratan akhbar berkaitan YB Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa Peguam Negara telah mengarahkan satu Inquest Kematian dibuat untuk menentukan punca kematian Arwah Adib, anggota bomba yang meninggal dunia yang disyaki telah dipukul semasa kejadian rusuhan di kuil Hindu USJ Subang.

“Pertama, saya terpanggil untuk bertanya kenapa Menteri KDN yang memberi pernyataan akhbar tersebut dan bukan Peguam Negara sendiri?

“Ini memberi percepsi kepada Rakyat Malaysia bahawa Menteri KDN campur tangan terhadap urusan siasatan polis dan pendakwaan Peguam Negara.

“Kedua, mengapa Peguam Negara mengarahkan satu Inquest Kematian dibuat walhal pihak polis sedang atau masih menyiasat kes kematian Arwah Adib ini sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan?”

Soal beliau, adakah Peguam Negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan pihak polis melakukan tugas siasatan kes bunuh ini?

“Sudah tentu satu tindakan menyiasat “punca kematian” dan menyiasat “siapa yang menyebabkan kematian” Arwah Adib merupakan objektif yang berlainan?” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.