Bursa Malaysia: Kaunter Rugi Mengatasi Kaunter Untung, 965 Tidak Diniagakan

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Bursa Malaysia kekal rendah pada akhir dagangan pagi hari ini dengan sentimen terus lemah susulan prestasi tidak menentu di Wall Street.

Ketua Pedagang OANDA Asia-Pasifik Stephen Innes berkata pelabur masih berhati-hati berhubung perang perdagangan US-China.

“Berita melaporkan bahawa Presiden Donald Trump sedang menimbang mengeluarkan perintah eksekutif untuk mengharamkan syarikat Amerika Syarikat (US) Daripada menggunakan peralatan yang dibangunkan oleh syarikat telekomunkasi China, Huawei dan ZTE,” katanya.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.47 mata kepada 1,690.25 daripada 1,690.72 pada penutupan Khamis.

Indeks utama bergerak antara 1,684.47 dan 1,692.22 di sepanjang dagangan selepas dibuka 2.81 mata lebih rendah pada 1,687.91.

Selain kebimbangan terhadap perang perdagangan, Innnes berkata data ekonomi US, interpretasi kelok pulangan dan ketidaktentuan politik US, turut menjejaskan sentimen pelaburan dunia.

“Pasaran akan berubah apabila sentimen berubah.

‘Nampaknya tidak banyak yang boleh dilakukan, memandangkan data ekonomi yang lemah akan mencetuskan tindakan yang setara. Kenyataan yang mententeramkan daripada pentadbiran US atau Rizab Persekutuan akan dianggap sebagai tanda lemah, yang akan mendorong gelombang baharu jualan,” katanya dalam e-mel hari ini.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 300 berbanding 283, manakala 339 kaunter tidak berubah, 965 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 803.13 juta saham bernilai RM447.82 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Tenaga susut empat sen kepada RM13.54, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM9.33, CIMB susut dua sen kepada RM5.76, manakala Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.43 dan Public Bank tidak berubah pada RM24.88.

Bagi saham aktif, Hubline meningkat setengah sen kepada 4.5 sen, VS Industry naik 1.5 sen kepada 72 sen, manakala Sapura Energy turun setengah sen kepada 29 sen.

Permaju dan Bumi Armada tidak berubah masing-masing pada 34.5 sen dan 15 sen.

Nestle merupakan kaunter paling rugi, merosot 90 sen kepada RM147.10, Dutch Lady turun 70 sen kepada RM61.50, Ajinomoto susut 60 sen kepada RM19.00, BAT jatuh 38 sen kepada RM35.98 dan Malaysia Airports mencatat 22 sen lebih rendah di RM8.22.

Indeks FBM Emas naik 3.83 mata kepada 11,527.47, Indeks FBMT 100 menambah 2.85 mata kepada 11,445.61 dan Indeks Syariah FBM Emas menokok 14.96 mata kepada 11,500.25.

Indeks FBM Ace menambah 24.71 mata kepada 4,262.37 dan FBM 70 meningkat 28.63 mata kepada 13,095.19.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 11.98 mata kepada 17,335.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.01 mata kepada 166.42, namun Indeks Perladangan naik 35.95 mata kepada 6,864.98. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.