UMNO Seperti Sebuah Armada, Jutaan Ahlinya Sanggup Redah Badai Hadapi Musuh


IPOH, 27 Dis – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Azian Osman mengibaratkan UMNO seperti sebuah armada.

Jelasnya, di dalamnya terdapat pelbagai bahtera sama ada induk mahupun berperanan sebagai pengiring yang mempunyai nakhoda bagi mengemudinya.

“UMNO adalah sebuah armada, ada kapal induk, kapal pengiring, kapal peninjau dan sebagainya. Setiap kapal ada nakhodanya.

“Benar beberapa buah kapal telah bocor dan nakhodanya cabut lari tapi kapal induk masih mampu belayar diiringi oleh kapal-kapal lain yang masih gagah mampu belayar,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur itu turut berkata, pengemudi-pengemudi kapal yang tumpas dan belot itu sudah semestinya akan diganti dengan individu lain yang berkebolehan serta setia mengharungi badai.

“…dan ingat jutaan anak-anak kapal armada UMNO ni masih kekal setia sanggup bertarung meredah badai untuk menghadapi musuh sekali lagi,” tegasnya.

Dalam status di media sosialnya itu juga, Azian menyeru pendukung parti kini perlu fokus memperkukuhkan UMNO kerana masih mempunyai masa mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

“PRU15 bukan besok atau minggu depan, jangan gundah-gulana.. buat kerja masing-masing, bahtera bocor kita ‘repair’, senjata kita perbaiki dan tajamkan, luka-luka kita ubat…

“Pihak musuh kita lagi kelam-kabut dari kita, berebut rampasan perang pun tak habis-habis lagi. Kapal mereka pun dah ada yang nak bocorkan dari dalam,” ujarnya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.