UMNO Sedia Terima Pandangan, Parti Perlu Terus Bergerak Ke Depan


KUALA LUMPUR, 27 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpandangan UMNO terbuka menerima pandangan, cadangan mahupun kritikan daripada mana-mana pihak untuk memperbaiki parti dalam usaha mengorak langkah ke depan.

Menurut beliau, hari ini bahtera UMNO yang sudah mempunyai pasukan mantap dan kuat sedang dibaik pulih untuk dikemudi dalam landskap politik baru negara dengan penuh yakin bahawa akar umbi parti akan terus setia dan berjuang dalam pengukuhan parti.

“Saya mengambil sudut pandangan yang berbeza dan positif berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“UMNO kini dalam proses pemutihan secara organik dimana boleh kita lihat beberapa Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti. Sebagai salah seorang pemimpin muda dalam parti, saya lihat ini adalah peluang dan ruang bagi parti melaksanakan transformasi parti serta memberi peluang pada muka-muka baru untuk mengambil tanggungjawab penting.

“Jika kita nilai dalam tujuh bulan selepas PRU-14, pelbagai cabaran telah dilalui oleh UMNO dan dalam tempoh tersebut UMNO telah melalui proses pemilihan Parti dengan lancar bagi memastikan UMNO tidak kelangsungan perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Malah katanya, dalam jangka waktu tersebut pelbagai lagi cabaran termasuk pembekuan aset dan akaun UMNO namun parti terus bergerak kehadapan.

“UMNO terus ditekan dimana beberapa pemimpinnya disabitkan dalam pertuduhan berunsur politik di mahkamah termasuk mantan Presiden dan Presiden UMNO.

“Dalam masa ini Presiden UMNO mengambil keputusan yang dilihat berjiwa besar untuk menyerahkan tugas-tugas Presiden kepada Timbalan Presiden, bagi beliau menumpukan pada kes beliau di mahkamah.

“Insya-Allah, saya penuh yakin kita semua akan terus berjuang untuk pengukuhan parti dan seterusnya bergerak ke depan,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.