UMNO Masih Kuat, Tidak Perlu Bergantung Dengan Sesiapa


KANGAR 27 Dis. – UMNO tidak perlu bergantung dengan sesiapa kerana parti itu masih kuat dan mempunyai hala tuju yang jelas bagi memastikan kemenangan milik mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau percaya, kepemimpinan UMNO yang diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas sebagai
Presiden pada masa ini akan mengembalikan kekuatan parti meskipun diserang daripada pelbagai sudut.

Justeru, katanya, UMNO boleh bergerak sendiri tanpa perlu mengharap kepada mana-mana parti lain untuk membantu.

“UMNO sentiasa jelas dengan objektifnya dan jika dilihat, Mohamad Hasan yang kini menjalankan kerja-kerja Presiden parti sudah mengumumkan strategi bagi menghadapi PRU-15.

“Jadi kita akan bekerja keras ke arah itu meskipun kini cabaran yang dihadapi parti begitu besar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, UMNO perlu fokus kepada strategi yang diumumkan Mohamad baru-baru ini dalam memastikan UMNO kekal relevan dan menjadi harapan rakyat.

“Jadi buat masa ini UMNO baik di peringkat Pusat dan negeri perlu fokus dengan hala tuju baru bagi memulihkan kembali kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.