Menteri PH Diminta Dengar Suara Rakyat, Kurangkan Cuti Hujung Tahun

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) kurangkan cuti hujung tahun memandangkan banyak masalah rakyat yang perlu ditangani.

Katanya, suara rakyat adalah suara keramat yang merujuk kepada laporan akhbar berkaitan keluhan penduduk di Kota Belud yang terdiri dari pesawah dan nelayan.

“Sawah padi 200 hektar terbiar, hasil nelayan merosot, hasil pelancongan menurun. Suara rakyat suara keramat. Saya bantu sebar supaya Menteri PH ambil tindakan. Saya tahu mereka baca twitter, instagram dan FB saya. Ambil tindakan segera. Menteri PH kurangkan cuti hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Twitternya hari ini.

Menerusi keratan akhbar yang beliau lampirkan, dilaporkan petani di Kota Belud alami kerugian akibat perubahan aliran sungai Kadamaian dan kerap berlaku banjir sehingga menjejaskan sebahagian besar daripada 900 hektar kawasan penanaman padi di kawasan terbabit.

Selain itu, mata pencarian kira-kira 800 nelayan merosot apabila mendapan pasir dan lumpur akibat banjir memusnahkan habitat hidupan laut sehingga hasil tangkapan merosot 80 peratus daripada kebiasaan.

Bukan itu sahaja, sektor pelancongan juga turut terjejas akibat daripada keadaan paras sungai yang semakin cetek menyebabkan aktiviti pelancongan yang menyumbang kepada pendapatan sampingan penduduk langsung tidak berlaku. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.