PPBM Tidak Boleh Gantikan UMNO – Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 25 Dis. – Biarpun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa mereka adalah parti orang Melayu dan Bumiputera, namun UMNO pasti tetap akan menjadi pilihan utama bagi Melayu dan Bumiputera walaupun UMNO bukan lagi sebuah kerajaan sebagaimana dahulu kecuali di Pahang dan Perlis, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kita yakin PPBM tidak boleh menggantikan UMNO,” katanya.

Ujar beliau, penghijrahan keluar beberapa Ahli Parlimen dan ADUN UMNO tidak boleh dijadikan ukuran atau mengatakan UMNO sudah lumpuh kerana tindakan mereka ini tidak disertai bersama jumlah ahli yang ramai melainkan beberapa penyokong tegar mereka.

“Malahan kehilangan mereka juga tidak menyebabkan UMNO di kawasan berkenaan terbubar, sebaliknya apabila mereka bertindak meninggalkan parti ia dengan mudah diganti oleh pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat.

“Ini dengan sendirinya berlaku proses peralihan kuasa kepada generasi baru dan pembersihan parti secara semulajadi.

“Kita perlu ingat, mereka yang keluar UMNO tentulah antaranya kerana mereka sudah hilang keyakinan dan kesetiaan pada UMNO. Jadi, biarlah yang tidak yakin atau setia ini tinggalkan UMNO. Jika mereka terus berada dalam parti ia akan menjadi barah yang akhirnya memusnahkan parti dari dalam. UMNO hanya akan kuat jika ahli yang taat setia pada perjuangan ini kekal dalam parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, paling utama ideologi dan falsafah serta prinsip perjuangan UMNO tetap kekal utuh biar apapun berlaku.

“Penghijrahan keluar sebahagian pemimpin dan ahli UMNO tidak membawa keluar bersama ideologi, falsafah dan prinsip perjuangan UMNO.

“Justeru UMNO akan terus menjadi parti yang berjuang membela kepentingan Melayu, Bumiputera dan memelihara kepentingan kaum-kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli UMNO jangan bimbang perubahan dan pendekatan baru akan terus dilakukan oleh parti. UMNO mahu menang dan kembali berkuasa sebagai sebuah kerajaan. Oleh itu semua pihak perlu fokus, bersama menyokong kepimpinan parti dan bersama memainkan peranan.”

Kepada pimpinan Pas katanya, usah bimbang pada UMNO kerana apa yang berlaku pada UMNO adalah lebih kurang sama ketika berlakunya penghijrahan keluar pimpinan serta ahli Pas apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara (Pan) suatu ketika dahulu.

“Biarpun Pan wujud namun Pas tetap kuat, maka biarpun beberapa wakil rakyat UMNO meninggalkan UMNO kita tetap yakin UMNO tetap sebagaimana biasa. UMNO akan terus berperanan sebagaimana ideologi yang dipegangnya malah akan terus menjadi juara membela kepentingan rakyat, dan pastinya akan merampas kembali kerusi yang hilang.

“Hakikatnya UMNO jauh lebih baik berbanding PPBM UMNO punyai sistem pentadbiran yang bersistematik. UMNO mempunyai pimpinan yang tersusun daripada peringkat UMNO Cawangan, UMNO Bahagian, UMNO Negeri hinggalah ke UMNO pusat.

“Jauh berbeza di mana, tidak kedengaran pun mesyuarat cawangan atau bahagian PPBM diadakan hanya diadakan di peringkat pusat sahaja. Ini bukti UMNO mempunyai kekuatan lebih baik berbanding PPBM,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.