Tujuh Bulan PH Perintah Negara, Mengapa Hal Berkaitan Islam Dan Melayu Sering Dipertikai

NIBONG TEBAL, 24 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail membidas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Kurikulum Pendidikan Islam perlu diubah dan dikurangkan kerana gagal mengimbangi keperluan semasa.

Jelas beliau, adalah sesuatu yang amat menyedihkan setelah tujuh bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara ini, hal yang berkaitan Islam dan Melayu seringkali diungkit dan dipertikaikan.

“Ke mana hala tuju Malaysia Baru sebenarnya? Ingin menjadikan Melayu dan Islam lebih teruk agaknya…? Tun seharusnya sedar bahawa Pendidikan Islam (Agama) adalah asas ampuh dalam melahirkan insan seimbang dari semua sudut dan kerana itulah Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi tunjang kepada perlaksanaan pendidikan di Malaysia ada menyebut ‘mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’.

“Untuk pengetahuan Tun, peruntukan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan hanya 96 jam minimum setahun dan tambahan 32 waktu untuk tasmik manakala sekolah menengah kebangsaan adalah 128 jam.

“Waktu diperuntukan sebenarnya amat kurang berbanding keperluan kepada pelajar pada hari ini, malah peruntukan di sekolah rendah lebih sedikit berbanding Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Peruntukan yang sedia ada pun tidak mencukupi apatah lagi hendak dikurangkan.

“Saya tidak pasti apa yang ada dalam pemikiran Tun, tidak sedarkah Tun bahawa hari ini permasalahan sosial, keruntuhan akhlak, keboborokan rumahtangga dan kecelaruan diri dikalangan pelajar Islam semakin meruncing. Ini ditambah pula dengan cabaran zaman modenisasi dan IT yang tanpa sempadan. Bagi saya Agama adalah perisai besar untuk menangani masalah ini. Persoalannya apakah akan terjadi sekiranya Pendidikan Islam akan dikurangkan? Yang sedia ada pun jenuh bertahan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Norhiesam, mungkin Tun terlepas pandang bahwa ramai pelajar Melayu Islam yang masih lagi tidak boleh membaca Al-Quran malah paling menyedihkan tidak mengenal huruf Al-Quran ketika sudah menduduki Sekolah Menengah.

“Kerana permasalahan inilah, mantan Perdana Menteri ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Program JQAF bagi pelajar sekolah rendah untuk membantu peningkatan membaca Al-Quran dan Jawi kepada pelajar Islam. Itu pun masa yang ada tidak mencukupi bagi membantu pelajar yang lemah.

“Pemuda UMNO Nibong Tebal juga berpendapat sepatutnya Tun perlu memperkasakan Pendidikan Islam dan bukannya menganggap Pendidikan Islam hanya subjek yang diajar tetapi subjek inilah yang menjadi keperluan kepada pelajar Islam Malaysia sekarang dan lebih berguna berbanding dengan subjek lain kerana ia merupakan Ilmu Fardu Ain dan bukannya Fardu Kifayah,” ulas beliau.

Beliau turut mencadangkan agar Tun lebih memberi fokus kepada permasalahan rakyat seperti isu harga barang naik, masalah menteri-menteri yang yang gagal mengurus kementerian, kesempitan hidup para peneroka, petani dan nelayan dan yang paling penting tunaikan manifesto PH pada PRU-14 yang lalu.

“Tidak perlu ganggu Kurikulum Pendidikan Islam sebaliknya tambah peruntukan bagi memperkasa pendidikan Islam di sekolah,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.