UMNO Sabah Yakin Mampu Depani Suasana Politik Yang Mencabar – Raime

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata pihaknya melahirkan harapan besar di bawah kepimpinan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk memastikan parti keramat ini terus menjadi jurucakap suara rakyat, khususnya kepada Bumiputera di Sabah.

Malah beliau yakin beberapa pendekatan yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO memberi manfaat yang terbaik kepada ahli-ahli akar umbi bagi mendepani situasi politik yang semakin mencabar.

“Ini termasuk soal memperkasakan parti yang mana akan ada satu jawatankuasa yang dibuat oleh Naib-naib Presiden yang melihat keperluan memberi kuasa yang lebih banyak kepada negeri dalam meningkatkan strategi politik terutama memenangi PRU15.

“Saya juga yakin usaha yang lebih sistematik dan efektif dapat dilaksanakan dengan adanya kuasa autonomi penuh kepada UMNO Sabah. Moga penurunan kuasa autonomi itu turut memperkuatkan perjuangan UMNO Sabah terutama dalam soal menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan UMNO negeri itu akan bangkit dalam usaha memacu hala tuju yang lebih jelas.

“Insyallah UMNO Sabah pasti bangkit di atas kepercayaan UMNO Pusat, kerana akar umbi perlukan kepimpinan yang padu di peringkat atasan untuk memacu hala tuju yang lebih jelas,” tambahnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.