Wanita UMNO Desak Peguam Tommy Thomas Peka, Jangan Lengah Buktikan ‘Rule of Law’


KUALA LUMPUR, 21 Dis – Wanita UMNO mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas agar peka dan prihatin dengan gesaan akar umbi yang mahu kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diambil tindakan pendakwaan dengan segera.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa kegagalan Tommy untuk berbuat demikian hanya akan menyebabkan kredibiliti Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terjejas dan bertambah buruk di mata rakyat.

“Peguam Negara perlu bertindak secara adil dan dalam kes kematian Muhammad Adib, seluruh rakyat Malaysia mahu melihat sistem perundangan negara serta institusi kehakiman benar-benar ditegakkan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan PH sering mencanangkan slogan ‘Rule of Law’.

Justeru, tidak ada alasan lagi bagi Jabatan Peguam Negara untuk melengah-lengahkan pendakwaan kes kematian Muhammad Adib.

“Justice Delayed Is Justice Denied. Tindakan Tommy melengah-lengahkan pendakwaan terhadap mereka yang dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib disifatkan sebagai menafikan hak dan keadilan mangsa.

“Rakyat sedang ‘tunggu dan lihat’ adakah Tommy berani melaksanakan tugasnya tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan atau campur tangan politik,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) akibat cedera parah selepas dipercayai diserang dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.