UMNO Akan Bangkit Perkasakan Parti, Menjadi Pembangkang Untuk Jurubicara Rakyat


KUALA LUMPUR, 21 Dis – UMNO telah mengambil beberapa pendekatan yang akan dapat dimanfaatkan untuk terus bergerak ke depan bagi memperkasakan parti sebagai pembangkang yang credible dan efektif serta menjadi jurucakap rakyat.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan bahawa UMNO akan menjadi jurubicara rakyat dengan mengutip dan menyusun segala apa juga masalah agar rakyat mendapat pembelaan dan kerajaan tidak sewenang-wenangnya menyusun dasar-dasar yang menyusahkan rakyat.

“Berkenaan hala tuju parti… yang selalu diperkatakan oleh ramai orang (UMNO) tak ada hala tuju. Hala tuju parti sebenarnya ialah UMNO telah mengambil keputusan bahawa kita akan menjadi jurucakap, jurubicara rakyat. Oleh yang demikian, usaha memperkasakan parti adalah core business kita.”

Sehubungan itu, dua hala tuju telah digariskan iaitu pertama untuk terus memperkasakan UMNO agar bangkit dan bangun menjadi jurucakap dan menjadi pembangkang yang credible dan efektif dalam Parlimen juga dalam Dewan-dewan Undangan Negeri.

“UMNO akan mengambil tugas dan mengutip apa saja isu-isu, masalah-masalah rakyat termasuk apa saja berkenaan kehidupan rakyat yang terhimpit sekarang ini khususnya dengan keadaan harga barang komoditi menurun dan macam-macam lagi.

“Kita akan terus menjadi sebagai juara rakyat dan akan memperjuangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Kedua, setelah dapat memperkasakan parti, kita juga akan menyusun dan mengatur strategi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Maknanya kita ada dua strategi utama iaitu memperkasakan parti dan kedua mengatur dan menyusun strategi untuk menang PRU.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas, di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Beliau memaklumkan UMNO akan menyusun dan mengatur semula operasinya di semua peringkat.

“UMNO ini sebagai suatu organisasi yang amat besar jadi kita ambil keputusan untuk mengkaji dan menyusun semula struktur organisasinya supaya pengurusan UMNO ini boleh diurus dengan baik dan tersusun.

“Ini akan dibuat oleh satu jawatankuasa yang dibuat oleh Naib-naib Presiden untuk kita melihat macam mana kita boleh memberi kuasa yang lebih banyak kepada negeri-negeri kerana sekarang semunya tertumpu di Ibu Pejabat, jadi ini akan kita buat supaya Ketua Perhubungan dan Negeri… ketua bahagian akan bersama-sama mengatur strategi. Strategi UMNO di negeri-negeri berlainan… Kelantan berlainan dengan di Johor, Perak dan sebagainya.

“Kita berikan apa yang dikatakan sebagai perturunkan kuasa kepada negeri-negeri supaya mereka dapat menyusun atur strategi parti untuk bangkit dan menang semula PRU-15. Dalam masa yang kita bersetuju untuk berikan autonomi penuh kepada UMNO Sabah.”

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa MT menerima keputusan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyerahkan tugas-tugas Presiden kepada Timbalan Presiden UMNO. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.