Tindakan U-Turn Dan Flip-Flop Kerajaan Antara Punca Dividen ASB Paling Rendah…


KUALA LUMPUR, 21 Dis – Dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun 2018 yang diumumkan hari ini merupakan jumlah yang paling rendah semenjak penubuhannya pada Januari 1990.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin melihat jumlah dividen terendah iaitu sebanyak 6.50 sen dan bonus 0.50 sen ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau di luar jangkaan memandangkan banyak indikator dapat dilihat sepanjang tahun ini lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Katanya, perkara yang terjadi ini adalah berkait rapat dengan keyakinan pelabur, baik dari dalam atau luar negara.

“Ditambah dengan banyak tindakan ‘u-turn’ dan keputusan ‘flip-flop’ oleh kerajaan hari ini, ianya hanya memburukkan lagi keadaan.

“Rakyat Malaysia masih belum jelas apakah pelan jangka masa panjang atau pakej rangsangan ekonomi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi merancakkan keadaan ekonomi negara, tetapi yang kita dengar kini hanyalah projek kurun ke-20 seperti projek kereta nasional ketiga,” bidasnya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam akaun facebook beliau, hari ini.

Misalannya, terang beliau, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada hari Selasa lalu jatuh ke paras terendah sejak tahun 2016 kepada 1,635 mata.

“Untuk rekod, trend penurunan ini sudah berlarutan semenjak bulan Mei 2018 yang pada ketika itu menunjukkan FBM KLCI berada pada paras 1,850 mata.

“Rentetan daripada ini juga, banyak saham-saham syarikat GLC utama negara juga mengalami ‘trend’ penurunan yang sama.

“Memandangkan ASB melabur dalam pelbagai pasaran saham termasuk di dalam syarikat GLC, ianya secara langsung memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pulangan negatif kepada ASB,” katanya yang memegang Portfolio Kewangan dalam Kabinet Bayangan Barisan Nasional (BN). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.