PRK Cameron Highlands: Wan Rosdy Pengarah, Calon Mesyuarat BN Putuskan


KUALA LUMPUR, 21 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, ujar Timbalan Presiden  yang menjalankan tugas presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, Majlis Tertinggi UMNO bersetuju Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu diberi mandat sebagai pengemudi PRK tersebut.

“Kita telah membuat keputusan biasanya pengarah pilihan raya kecil diberikan tugas dan mandat kepada Timbalan Presiden tapi kerana memandangkan tempat Cameron Highlands ini adalah negeri yang masih lagi Barisan Nasional (BN), Ketua Perhubungan adalah dari Cameron Highlands, Ketua Bahagian dan juga Menteri Besar dari Bahagian yang sama.

“Jadi kita mengambil keputusan supaya Yang Amat Berhormat Datuk Seri Wan Rosdy diberikan kepercayaan dan mandat jadi Pengarah PRK Cameron Highlands yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Tetapi dalam yang sama, Datuk Seri Ismail Sabri selaku yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden akan menyusun atur strategi untuk kita menyusun program-program, membantu jentera pilihan raya di Cameron Highlands ini, InsyaAllah,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Penerangan, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta ketua-ketua sayap pergerakan parti.

Pada Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Jan 2019, hari penamaan calon pada 12 Jan, manakala 22 Jan hari pengundian awal.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan itu adalah terbatal dan tidak sah.

Berhubung dengan parti dan calon BN bagi kerusi tersebut, Mohamad berkata BN masih menghormati persetujuan pembahagian kawasan sepertimana yang diamalkan dalam pilihan raya umum.

“Kita seperti kebiasaannya jika pada pilihan raya umum, tempat itu diwakili oleh parti komponen BN, sama ada UMNO, MCA atau MIC atau parti-parti lain, kita masih menghormati susunan dan persetujuan tersebut, tetapi terpulanglah kepada Presiden parti atau parti tersebut menentukan siapa calon yang mereka mahu.

“Biasanya kita akan duduk dan berunding dan apa sahaja yang dipersetujui dalam mesyuarat BN kita akan bincang dengan baik, apa yang terbaik kita akan persetujui bersama,” jelasnya lagi.

Justeru katanya, dalam masa terdekat BN akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan calon dan parti yang akan mewakili BN di dalam PRK Cameron Highlands.

Pada PRU14 lepas, BN yang diwakili Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.