Pelik, Semua GLC Berkaitan Melayu Dan Islam Rugi… Penyelesaiannya Jual Aset

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditempelak ekoran pelbagai isu termasuklah hasrat mahu menjual aset Tabung Haji (TH) bernilai RM 19.9 bilion kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Lim Guang Eng bagi menampung liabiliti TH.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, tindakan kerajaan ini seakan ada agenda yang tersembunyi malah apa yang peliknya adalah mengapa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau Badan yang berkaitan terhadap Melayu dan Islam adalah rugi dan penyelesaian utama hanya menjual aset seperti yang berlaku kepada Felda dan Tabung Haji.

“Justeru Pemuda UMNO Nibong Tebal menggesa agar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) segera menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu berkaitan TH.

“Ini penting kerana adalah tidak adil isu TH ini dinilai dan dihakimi di dalam media massa tanpa siasatan mendalam sehingga ke akarnya bagi menentukan benar atau salah terhadap pengurusan TH sebelum ini.

“Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana ini melibatkan aset terbesar umat Islam di negara ini dan kerana itu Pemuda UMNO Nibong Tebal mencadangkan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat isu ini supaya rakyat dapat mengetahui siapa yang benar dan salah serta kedudukan sebenar pengurusan TH.

“Saya juga berharap secepat mungkin satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja dapat dipanggil bagi campur tangan terhadap penyelesaian isu TH ini. Biarlah Majlis Raja-Raja yang menentukan hala tuju penyiasatan terhadap TH,” ujar beliau.

Tambah Norhiesam, kerajaan PH juga perlu berhenti mencari salah orang lain semata-mata mahu mendapatkan populariti murahan sedangkan tuduhan tersebut belum tentu benar dan sahih serta perlu diteliti serta disiasat sedalam-dalamnya.

“Lebih baik kerajaan PH fokus kepada masalah rakyat yang semakin meruncing seperti masalah pembayaran elaun terhadap peneroka Felda, petani, nelayan dan sebagainya serta menggandakan usaha meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.

“Kerajaan PH juga tidak perlulah hanya pandai menuding jari kepada orang lain sahaja, isu wang Tabung Harapan entah kemana…. Adakah rakyat akan terus kena ‘kencing’ lagi bagi menutup kesalahan dan kelemahan kerajaan PH,” bidasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.