Kematian Adib : UMNO Desak Kerajaan Tubuh RCI, Lucut Jawatan P. Waytha Moorthy


KUALA LUMPUR, 21 Dis – UMNO mendesak Kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy ekoran kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Isnin lalu.

Demikian tegas Timbalan Presiden yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas, di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

“MT UMNO merakamkan rasa dukacita dan takziah ke atas keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang telah pun meninggal dunia dan kita mendesak satu RCI ditubuhkan dan kita mahu supaya tindakan tegas mesti diambil.

“Kita juga desak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dilucutkan jawatan,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Muhammad Adib telah mengalami cedera parah akibat dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 dan 27 November lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.