Bank Dunia Turunkan Lagi Pertumbuhan KDNK Malaysia, Apa Tindakan Kerajaan PH…

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil tindakan ekoran daripada keputusan Bank Dunia yang menyemak turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini.

Katanya Bank Dunia telah dua kali menurunkan pertumbuhan KDNK Malaysia, 4.9 peratus kepada 4.7 peratus untuk tahun 2018.

“Sebelum itu telah turunkan 5.4 peratus kepada 4.9 peratus pada Oktober 2018. Sebab utama adalah faktor-faktor dalaman. Lim Guan Eng harap ambil perhatian,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Dilaporkan, Bank Dunia telah menyemak turun pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 4.7 peratus daripada 4.9 peratus yang diunjurkannya pada Oktober lalu atas alasan mengambil kira dua perkembangan utama.

Pertama perbelanjaan dan pelaburan daripada kerajaan yang lebih rendah berikutan perubahan pentadbiran kerajaan yang mengumumkan akan mengambil pendekatan merasionalisasikan perbelanjaan yang lebih ketat dan cermat.

Faktor kedua ialah pelaburan keseluruhan yang lebih rendah daripada kedua-dua pihak swasta dan awam, dengan separuh pertama tahun ini menunjukkan jumlah pelaburan yang perlahan terutamanya disebabkan (pelabur mengambil) pendekatan tunggu dan lihat, namun selepas pilihan raya umum (ke-14), ia mula menunjukkan peningkatan.

Pada Oktober lalu, Bank Dunia mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 4.9 peratus daripada 5.4 peratus yang diumumkan pada April lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.