Selain Kejayaan ‘U-Turn’, Apa Yang Boleh Dibanggakan?


BATU PAHAT, 20 Dis – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menimbulkan persoalan apakah era ‘Malaysia Baru’ yang boleh dibanggakan menjelang tiga minggu genap lapan bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

Bidasnya juga, apakah tindakan kerajaan untuk menangani kesuraman ekonomi negara pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) terutama kejatuhan harga saham semakin mendadak, pelabur asing berterusan menjual saham serta harga komoditi semakin merudum.

“Semalam harga saham jatuh lagi sebanyak 14.3 mata, menjadikan keseluruhannya jatuh 268 mata sejak PRU Ke 14. Soalnya apa Lim Guan Eng buat untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing? Tentulah sukar kalau kerajaan sering buat ‘U-Turn’.

“Harga minyak sawit mentah (MSM) berada di paras terendah dalam tempoh 12 tahun iaitu RM1,750 satu tan. Janji menghapuskan hutang FELDA juga tidak ditunaikan.

“Bank Dunia telah membuat unjuran baru KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia kepada 4.7%,” tegasnya dalam entri di Facebooknya.

Untuk rekod, pada April lalu sebelum PRU14, Bank Dunia menaikkan unjuran KDNK negara bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus sebelumnya, tetapi pada Oktober turun ke 4.9 peratus dan terbaharu semakin merudum ke 4.7 peratus.

Puad juga gusar apakah manfaat yang rakyat perolehi atas tindakan kerajaan PH yang kini semakin giat menjual aset negara.

“Sekurang-kurangnya janganlah tamatkan bantuan persekolahan RM100,” katanya yang kecewa kebajikan sedemikian turut menjadi mangsa kerajaan PH.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu dalam masa yang sama turut membidas kerajaan PH yang suka membuat keputusan ‘U-Turn’ termasuklah juga dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tun M juga buat ‘U-Turn’ dalam politik. Hari ini tolak MP (Ahli Parlimen) UMNO yang melompat masuk PPBM kerana digelar sampah oleh Dap.

“Bagaimana yang sudah masuk seperti Tok Pa (Mustapha Mohamed), Mas Ermieyati dan Dr Noor Azmi Ghazali?,” soalnya lagi. – Media UMNO