Mohamad Hasan Pangku Jawatan Presiden, Ismail Sabri Timbalan Presiden


KUALA LUMPUR, 20 Dis – Mesyuarat Pengurusan UMNO bersetuju memutuskan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan memangku jawatan Presiden sepanjang Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti, bagi memastikan kelancaran gerak kerja parti.

Dalam satu kenyataan media di sini hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa juga memaklumkan bahawa tugas-tugas Timbalan Presiden akan digalas oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden paling kanan.

“Keutamaan UMNO sekarang adalah untuk memperkukuhkan saf kepimpinan dan juga memfokuskan agenda pengukuhan parti.

“Diharapkan semoga proses pengukuhan parti di semua peringkat dapat direalisasikan sebaiknya seperti yang dihasratkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” ujar Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’ bersetuju menyerahkan tugas-tugasnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalannya demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan UMNO Bahagian-bahagian. – Media UMNO