Ayuh Rapatkan Barisan, Istiqamah Dalam Perjuangan – Azhari

SHAH ALAM, 20 Dis – Para pendukung parti perlu terus merapatkan barisan walau apa sahaja suasana yang melanda politik sama ada di dalam mahupun di luar UMNO, tegas Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Justeru menurutnya, semua ahli sewajarnya menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar menyerahkan jawatan nombor satu parti kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk diuruskan sementara beliau menangani perkara lain.

“Tindakan tersebut agak mengejutkan, namun keputusan sudah dibuat dan kita di akar umbi menerima segala ketetapan yang dibuat atas prinsip walak.

“Pada saat ini kita di akar umbi perlu memasang ‘mode standby’ di dalam diri masing-masing bagi memastikan Datuk Seri Mohamad Hasan benar-benar berada dalam kedudukan terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau jika rayuan di mahkamah ditolak.

“Sebagai pelaksana tugas Presiden UMNO, tugas beliau sudah pasti amat berat namun perjuangan perlu diteruskan walaupun pahit untuk ditelan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, seluruh negara, tidak kira sama ada ahli mahupun bukan ahli pasti akan menumpukan perhatian kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku pemangku jawatan Presiden parti.

“Sudah pasti beliau akan menerima pelbagai komen dan serangan politik bagi melemahkan dirinya dan UMNO,” ujarnya.

Sehubungan itu, Azhari mengucapkan selamat berjaya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam menempuhi ujian mendatang.

“Apa yang pasti kita di Shah Alam tetap istiqamah dengan perjuangan parti sejak dulu, kini dan selamanya. InsyaAllah. Hidup UMNO!,” katanya dengan penuh semangat. – Media UMNO.