Najib Sifatkan Zahid Melangkaui Kepentingan Peribadinya Dan Yakin Visi, Kepimpinan Tok Mat Hasan


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata keputusan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menyerahkan kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden jelas satu tindakan mulia yang mementingkan parti melangkaui kepentingan peribadinya.

Jelasnya dalam hantaran terkini di Facebooknya, sebagai presiden yang dipilih secara demokratik oleh parti, ia adalah satu pengorbanan peribadi yang besar dan bukan satu langkah yang mudah untuk beliau ambil.

“Pun begitu, saya juga yakin dengan Tok Mat Hassan (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang akan menyandang tugas-tugas presiden parti.

“Beliau memiliki visi, kepimpinan dan kepercayaan pemimpin dan ahli parti untuk menstabilkan serta bina semula UMNO,” jelasnya.

Mengulas mengenai terdapat ramai pemimpin dan ahli-ahli UMNO memintanya untuk mengambil kembali kepimpinan UMNO ataupun menjadi ketua umum parti, Najib berkata:

“Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan itu namun saya tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi ketua umum parti.

“Seperti yang saya telah jelaskan sebelum ini, keutamaan saya masa ini adalah untuk membersihkan nama saya di dalam dakwaan-dakwaan undang-undang yang sedang saya hadapi; terus menyuarakan kepentingan rakyat; mempertengahkan masalah rakyat dan memberi penjelasan tentang isu-isu yang ada kesan kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Walau begitu Najib sentiasa sedia memberi pertolongan dan sokongan penuh kepada Tok Mat Hasan dan barisan pemimpin UMNO jika ada permintaan atau keperluan dari mereka. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.