Mengalah Demi Keluarga Besar UMNO, Ahmad Zahid Wira Kami – Puteri UMNO Bagan Datuk

BAGAN DATUK, 19 Dis – Puteri UMNO Bahagian Bagan Datuk menghormati keputusan yang diambil oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana percaya ia adalah untuk kebaikan bersama.

Kata Ketuanya, Nordiana Suhaileen Azmi, Presiden yang juga merupakan Ketua Bahagiannya akan sentiasa menjadi wira kepada mereka kerana tidak sesekali gentar mahupun tunduk dengan tekanan serta asakan pihak luaran parti.

“Namun beliau terpaksa mengalah dengan desakan anak-beranak, adik-beradik dalam keluarga UMNO.

“Ini adalah kerana kecintaan beliau kepada parti Keramat UMNO tiada tolok bandingnya. Mengalah bukan bererti kalah. Mengalah demi keharmonian keluarga besar UMNO.

“Pergerakan Puteri UMNO Bagan Datuk akan tetap berdiri teguh di belakang Datuk Seri saat susah mahupun senang, menghormati setiap keputusan yang diambil beliau kerana kami percaya semua adalah untuk kebaikan bersama. Beliau akan sentiasa menjadi wira kami,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Walaupun begitu, jelas Nordiana lagi, keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berehat dan menyerahkan tugas-tugas Presiden UMNO untuk dijalankan oleh Datuk Seri Utama Mohamad Hassan amat mendukacitakan.

“Ini dilihat sebagai kemenangan besar kepada Tun Mahathir yang telah berusaha sedaya upaya menggunakan pelbagai pihak dalam UMNO untuk memberikan tekanan kepada Datuk Seri Zahid agar berehat sebagai Presiden,” katanya.

Justeru, sebagaimana amanat Presiden, Puteri UMNO juga berharap agar segala polemik berkaitan dengan kepimpinan dapat dihentikan serta tiada lagi pemimpin yang akan keluar meninggalkan UMNO seperti yang telah dijanjikan.

“Semoga seluruh pemimpin dan pendokong wadah perjuangan UMNO di semua peringkat sehinggalah ke peringkat akar umbi dapat kembali merapatkan saf dan lebih fokus kepada agenda pemerkasaan parti,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.