Kekang Anasir Pecah-Belah Keharmonian Kaum, Jangan Biarkan Melarat – Pemuda Setiawangsa

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa berharap pihak berkuasa tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Naib Ketuanya, Fadzmel Fadzil menggesa agar jangan dibiarkan isu tersebut berleluasa dan semua pihak bersama-sama mengekangnya sebelum ia merebak menjadi isu yang lebih mudarat.

Justeru, hari ini Pemuda UMNO Setiawangsa telah membuat satu laporan polis terhadap seorang wanita bernama Caryn Yean dan beberapa individu lain di mana di dalam satu komen di dalam ruangan Facebook, individu-individu ini telah membuat satu kenyataan yang memecah-belahkan keharmonian dan perpaduan kaum di dalam negara ini.

“Tindakan ini adalah tidak wajar dan telah menyentuh sensitiviti sesebuah kaum juga agama dan dilihat mampu menimbulkan suasana kurang senang atau kemarahan, khususnya dalam kes ini buat yang beragama Islam.

“Pemuda UMNO Setiawangsa menegaskan bahawa tindakan hari ini bukanlah sebagai langkah mencetus ketegangan kaum namun ia hanya untuk memastikan barang siapa, tidak kira mana-mana individu dari apa bangsa atau agama sekalipun tidak boleh sesekali mengeluarkan kenyataan provokatif seperti ini kerana ia hanya akan menjurus kepada kemudaratan perpaduan yang kita telah nikmati selama ini,” ujarnya.

Pemuda UMNO Titiwangsa berharap tindakan tegas diambil terhadap individu tersebut oleh pihak berkuasa walaupun penggantungan serta-merta telah dilakukan oleh majikan individu berkenaan.

“Dengan langkah ini juga kami berharap ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana individu yang ingin lakukan perkara yang sama di masa akan datang.

“Kami, seperti majoriti rakyat cintakan Malaysia yang aman dan negara yang makmur lahir dari kesepaduan hubungan antara kaum serta agama dan jangan hanya dengan provokasi sebegini ia akhirnya mencetus ketegangan sesama kita,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.