UMNO Rakam Takziah, Seru Kerajaan Terus Siasatan Demi Keadilan

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bersama dengan seluruh ahli UMNO mengucapkan takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Muhammad Adib, diharapkan tabah menghadapi ujian ini. Semoga rohnya ditempatkan bersama kalangan Syuhada,” katanya Ahmad Zahid.

Selaras dengan itu beliau menyeru pihak Kerajaan meneruskan siasatan demi keadilan bersama.

Allahyarham Muhammad Adib yang cedera dalam insiden rusuhan di sebuah kuil bulan lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Justeru, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah ke atas Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman – Al-Fatihah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.