UMNO Mesti Dikekalkan Demi ABATA – Agama, Bangsa Dan Tanah Air

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO tidak akan dibubar atau dipadamkan demi meneruskan perjuangan ABATA – agama, bangsa dan tanah air.

“Azam saya, biar ditolak, biar diaib atau dihina namun untuk membubar atau memadam UMNO tidak ada dalam kamus politik saya.

“Saya amat hargai akar umbi yang tak pernah goyah kerana inilah kekuatan UMNO apabila akar tunjangnya kuat mengukuh sebagai sebuah parti Melayu yang keramat dan inilah anugerah dari Alah SWT.”

Katanya, hala tuju UMNO adalah untuk menjadi kerajaan semula atau menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Agenda kita adalah Melayu, Islam dan tanah air. Kita berikan peluang dengan menterjemahkan agenda itu dengan dokongan oleh kita.”

Katanya, pastinya selepas tujuh dekad iaitu lebih 72 tahun UMNO dalam persada politik tanah air, bersama dalam Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN) namun hari ini UMNO menjadi pembangkang.

“Padahal signal telah dihantar apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kita tak ada majoriti dua pertiga.
Kita budaya politik yang complacent. Seolah-olah ‘business as usual’. Kita tahu pelbagai usaha dilakukan untuk menggarap minda dan juga gelagat kita melaksakan strategi PRU namun akhirnya apabila kita teruji dengan kekecundangan kita, maka kita terdampar, bukan hanya misai telah terkena bumi tapi kita kehilangan kuasa.

“Kita lihat kebertanggungjawaban untuk memulihkan UMNO adalah sesuatu yang berat namun saya terbuka.

“Saya telah menjangka bahawa kita akan menghadapi banyak polemik dalam parti. Bukan hanya pemimpin UMNO di negeri dan bahagian tapi juga di akar umbi. Saya letakkan penuh tabik hormat yang tidak goyah terus bersama-sama dalam UMNO.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’ yang diadakan di Aiditorium UMNO, Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Wacana U3.0 ini turut disiarkan secara ‘live’ melalui medium facebook UMNO-Online yang boleh ditonton oleh khalayak massa. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.