Ahmad Zahid Berjiwa Besar, Masa Untuk UMNO Maju Ke Depan

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana berjiwa besar dan mendengar suara akar umbi dengan memberikan kepercayaan kepada Datuk Seri Mohammad Hassan selaku Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO.

“Sebagaimana amanat beliau, saya juga mengharapkan agar segala polemik berkaitan dengan kepimpinan dapat dihentikan dan seluruh pemimpin dan pendokong wadah perjuangan UMNO di semua peringkat dari atas sehinggalah ke peringkat akar umbi dapat kembali memperkukuhkan saf dan memfokuskan kepada agenda pembaharuan dan pemerkasaan parti.”

Katanya, sesungguhnya rakyat dan ummah keseluruhannya amat menantikan dan mendambakan agar UMNO benar-benar berubah melalui proses muhasabah dan pengislahan seterusnya kembali bangkit dengan wajah baru berpaksikan akar perjuangannya yang sejati demi mempertahankan nasib rakyat, martabat agama dan maruah bangsa.

“Sekali lagi saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO merakamkan ucapan penghargaan setingginya kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas segala sumbangan beliau kepada wadah perjuangan UMNO selama ini.

“Moga Allah memberkati dan merahmati segala sumbangan yang dicurahkan.”

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap makluman Ahmad Zahid yang memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas Presiden malam ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.