Ahmad Zahid Beri Kepercayaan Timbalan Jalankan Tugas Presiden UMNO

 

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden.

Tegasnya, demi keutuhan UMNO dan demi kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN serta UMNO Bahagian-bahagian, langkah-langkah menyelamatkan UMNO harus dilakukan segera.

“Berdasarkan kepada kemelut yang dihadapi oleh parti hari ini, saya mengambil keputusan untuk memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden.

“Saya harap semua polimek mengenai kepimpinan ditamatkan dan saya mahu kepimpinan di peringkat akar umbi fokus memperkukuhkan parti.

“Saya menyeru supaya tiada lagi tindakan keluar parti daripada Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’ yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO wajib diselamatkan dari rebah.

“Akar umbi amat mengharapkan pimpinan UMNO bersatu hati untuk menterjemahkan halatuju UMNO sesuai dengan slogan baharu ‘UMNO Bangkit’.”

Katanya, UMNO boleh bangkit dan bingkas bangun semula jika perpaduan terus dimantapkan dan bersatu pemikiran dalam sebuah pasukan UMNO yang diperkasakan.

“Saya merasai keresahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan demi tuduhan seperti yang saya alami.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.