UMNO Selangor Kecam Tindakan Ahli Parlimen Sabak Bernam Keluar Parti

SHAH ALAM, 17 Dis – Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor mengecam tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang mengambil tindakan keluar parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu adalah amat tidak wajar dan ia satu pengkhianatan kepada para pengundi dan jentera UMNO yang bersusah payah bekerja untuknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“UMNO Selangor berasa kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam ini. Dia perlu sedar bahawa dia bertanding atas tiket parti iatu BN dan kemenangan beliau adalah hasil kerja keras dan sokongan pengundi di Sabak Bernam.


“Tindakan beliau adalah tidak wajar untuk pengundi di sini dan saya berharap pihak Ibu Pejabat UMNO akan mengambil tindakan kepada beliau,” ujar beliau dalam satu sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Tegas Ismail Sabri, sekiranya Fasiah seorang yang bermaruah dan bermoral, beliau sepatutnya harus meletak jawatan dan bertanding semula sebagai bebas atau mewakili mana-mana parti lain.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut menyatakan empat lagi ADUN BN di negeri itu telah menyatakan taat setia untuk terus menyokong perjuangan UMNO.

“Saya ingin nyatakan di sini, walaupun ramai Ahli Parlimen yang lompat parti tetapi UMNO di akar umbi masih utuh. Contoh seperti Tok Pa (Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed), dia lama jadi Ketua UMNO Bahagian Jeli, jadi Ahli Parlimen tapi bila dia keluar UMNO bahagian Jeli masih terus kukuh dan tidak ada cawangan yang bubar.

“Begitu juga dengan tempat lain di mana Ahli Parlimen mereka lompat tapi tidak ada cawangan pun yang ditutup. Mereka keluar parti adalah atas tiket peribadi dan bukannya pendirian UMNO bahagian terbabit,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.