Semua Pemimpin, Ahli UMNO Mesti Bersama Kukuhkan Parti – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru semua pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat untuk bersama dalam mengukuhkan parti di waktu ini.

Tegasnya ketika inilah kematangan dan kebijaksanaan semua ahli parti diuji dalam menyelesaikan suatu krisis.

“Elakkan mengeruh lagi keadaan dan kita jangan lari daripada fokus perjuangan asal kita. Eloklah dihentikan perkara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kebebasan bersuara dalam parti bukan bermakna kita boleh bercakap apa saja hingga menjejaskan reputasi parti ketika ini”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Jelas beliau walaupun UMNO kehilangan beberapa Ahli Parlimen yang bertindak meninggalkan parti tidak bermakna idealisme perjuangan UMNO juga hilang.

Tambahnya apa yang hilang ialah sebahagian Ahli Parlimen UMNO namun falsafah, idealisme, peranan, dan fungsi UMNO tidak hilang.

“UMNO mesti terus perjuangkan isu-isu rakyat dan jangan sesekali kita lupa bahawa perjuangan kita adalah untuk agama, bangsa dan negara. Rakyat perlukan pembelaan UMNO ketika ini.

“Saya juga berharap jangan kita meletakkan kepentingan lain dari kepentingan parti untuk selesaikan masalah. Jika ini berlaku ia akan mengundang perkara tidak baik”, ujarnya.

Paling utama ketika ini tegas beliau lagi ialah semua pemimpin dan ahli mesti jaga perpaduan di semua peringkat serta beri masa dan kepercayaan pada pimpinan utama parti selesaikan masalah.

Tambahnya dalam sejarah 72 tahun UMNO inilah kali pertama UMNO hadapi situasi begini.

“Keadaan ini tidak pernah dilalui oleh mana-mana Presiden UMNO kecuali Zahid Hamidi. Bukan senang untuk menghadapinya.

“Oleh itu, apakah boleh diselesaikan masalah jika kita bertelagah sesama sendiri dan perpaduan semakin longgar ? Sesiapapun menjadi pemimpin tidak akan menyelesaikan masalah jika tiada kesepakatan atau asyik menyalahkan satu sama lain.

“UMNO parti besar kita ada kaedah dan cara menyelesaikan masalah. Apa saja tindakan kita diperhatikan oleh rakyat. Oleh itu kita mesti bijaksana menghadapi situasi mencabar ini”, katanya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.