Penghijrahan Wakil Rakyat UMNO Bersifat Sementara Dan ‘Tactical’ – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata penghijrahan keluar wakil rakyat UMNO adalah bersifat sementara dan sesetengahnya adalah ‘tactical’.

Jelas beliau, senario ini tidak seharusnya merencatkan proses ‘reinventing’ UMNO malah dari satu sudut ianya membantu memudahkan proses tersebut.

“Sebelum bertemu PRU-15, sekurang-kurangnya sekali lagi proses ‘internal cleansing’ akan berlaku. PRU-15 UMNO akan dipimpin generasi baru.

“Adalah penting UMNO dibersihkan bukan saja dari segi kepimpinan tapi juga budaya dan falsafah perjuangan. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, factionalism, racism dan politik kebendaan adalah antara perkara yang wajib dihapuskan,” ujarnya dalam status yang dimuat naik di laman sosial ‘facebook’ beliau.

Justeru tambah Annuar, UMNO juga harus menjadi sebahagian dari ‘new alliance’ dengan ‘new deal’ dan ‘new hope’. Sekiranya ini dapat di lakukan lebih cepat maka ia lebih baik.

“Mereka yang keluar UMNO masih berjiwa UMNO…. termasuk Tun Mahathir. UMNO adalah parti dan tidaklah salah, yang salah adalah kita yang memimpin dan bukan UMNO.

“Setelah ia di perbaiki, saya mendoakan agar kiambang bertaut kembali agar perjuangan umat Melayu dan Islam di perkasakan. Dalam hal ini, saya secara peribadi merasakan Tun M ada peranan yang sangat besar. Tun M sudah lakukan bermacam-macam untuk negara kecuali satu perkara iaitu perpaduan Melayu dan menjadikan Melayu dan Islam tiang seri politik negara.

“Secara peribadi saya merasakan usaha ‘memujuk’ dan ‘mencuri’ wakil rakyat UMNO melalui pintu belakang tidak memberi jaminan kepada BRRSATU. Apa lagi kalau yang dibawa itu merupakan ‘kayu mati’ yang sudah tiada pengaruh lagi. UMNO tidak mati malah akan semakin segar,” ujar beliau lagi.

Katanya lagi, adalah lebih baik Tun M memikirkan tindakan lebih berani iaitu melalui pintu depan kerana ‘rumah’ ini rumah asal Tun M sendiri.

“Masih ramai di sini yang merasakan Tun M adalah sebahagian dari rumah agam ini,” katanya. – MediaUMNO