Berhentilah Jadikan Presiden UMNO Alasan Untuk Keluar Parti

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa mana-mana ahli UMNO untuk berhenti menjadikan Presiden sebagai alasan untuk keluar parti.

Tegasnya, kepada mereka yang hendak tinggalkan UMNO, fikirlah bahawa kesetiaan adalah sifat terpuji.

“Rakyat terbanyak tidak suka kepada mereka yang khianati perjuangan dan tinggalkan kawan. Berhentilah jadikan Presiden UMNO sebagai alasan. Anda keluar (UMNO) atas sebab yang rasanya lebih kepada kepentingan peribadi,” katanya yang dipetik menerusi Twitter beliau hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan tidak akan keluar dari UMNO kerana telah menang (kerusi Parlimen) bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mewakili UMNO dengan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).

“UMNO telah banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Saya telah aktif sejak awal jadi Pengerusi Kelab UMNO Wellington, New Zealand UMNO demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.