UMNO Perak Sokong Zahid Sebagai Presiden

IPOH 16 Dis. – Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak pada hari ini sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti kerana beliau telah dipilih oleh para perwakilan sewaktu Persidangan Agung UMNO yang lalu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, adalah tidak adil sekiranya terdapat segelintir pemimpin mahupun ahli UMNO menuding jari serta mendesak Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatan, semata-mata beliau masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

“Sedangkan, pengalaman menunjukkan kepada kita, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, sebelum itu adalah Ketua Umum PKR. Beliau bukan sahaja didakwa tetapi duduk dalam penjara pun masih belum melepaskan apa-apa jawatan.

“Yang kedua, satu lagi kes jangan dilupakan dalam sejarah kita apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa kes sedang berjalan (di mahkamah), beliau dilantik sebagai Menteri. Tiada pula tuntutan daripada DAP supaya beliau melepaskan jawatan, malahan akhirnya, kesnya digugurkan sewaktu sedang dibicarakan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya turut menyatakan kekesalan yang amat sangat terhadap ‘power broker’ terdiri dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri yang telah mengadu domba, menghasut serta menjanjikan ‘gula-gula’ sehingga menyebabkan beberapa Ahli Parlimen UMNO termakan hasutan dan akhirnya meninggalkan parti.

Beliau berkata, tindakan mereka itu harus dihentikan serta-merta dan Majlis Tertinggi UMNO turut digesa supaya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemimpin UMNO yang bertindak sebagai duri dalam daging mahupun gunting dalam lipatan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.