Ambil Iktibar Dari Sejarah, Kehancuran Kerana Perpecahan Dalaman – Zahid

FRASER’S HILL, 16 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan runtuh sekiranya perpecahan terus-terusan berlaku dari dalam.

Jelas beliau, pemimpin dan ahli UMNO juga perlu belajar untuk redha dan bukan hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Dalam keadaan sekarang kita harus redha. Allah nak ajar kita tapi kita tidak pernah belajar. Dalam keadaan kalah.. dalam keadaan kecundang, masih ada yang berfikir yang penting bukan parti kita tapi macam mana aku nak menyelamatkan diri aku.. nak elakkan diri aku daripada di siasat… macam mana aku nak pastikan diri aku tidak dituduh…

“Ertinya kita tidak ada istiqomah.. sebab kita merasakan diri kita dulu perlu diselamatkan bukan soal parti. Saya melihat, apa yang berlaku pada PRU-14, Allah menurunkan musibah kepada kita, Allah berikan suatu hidayah atau panduan kepada kita tapi untuk apa? Ini kifarah.. apa makna kifarah? ‘What you give.. this is what you get…’

“Saya bertanya kepada ulama termasuk di luar negara.. takkan dari ramai-ramai yang saya mohon agar mereka doakan untuk kemenangan UMNO dalam PRU-14 tidak dimakbulkan Allah.. mereka kata kepada saya ‘Tuan.. ini adalah satu proses pembersihan’,” ujar beliau ketika berucap dalam program Retreat UMNO bahagian Temerloh.

Tambah Zahid, UMNO juga seharusnya menggunakan peluru yang ada untuk menyerang musuh dari luar dan bukannya melayani masalah dalaman.

“Kita lihat apabila Belanda menyerang Melaka, orang dalam yang beri maklumat… bila Portugis serang Melaka, dalang dari dalam yang beri maklumat dan jual kedudukan. Bila British masuk, perjanjian Pangkor… kita tahu siapakah yang bekerjasama dengan British… ada orang dari dalam Istana.. bila Jepun masuk, kita lihat orang dalam juga yang menjual maklumat.. bila Komunis memerintah.. orang dalam juga yang maklumat.

“Ertinya, permasalahan dalaman ini menunjukkan UMNO ini dinamik dan kita lebih melayani masalah dalaman kita daripada bersama-sama untuk berkubu dan menggunakan peluru yang ada menyerang musuh daripada luar.

“UMNO tidak bergantung kepada seseorang pemimpin, UMNO terbentuk kerana hirerki dan prestasi kepimpinan dan itulah kekuatan sebenar UMNO,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO