UMNO P.Pinang Desak Shabudin Lepas Semua Jawatan

BUTTERWORTH, 15 Dis – UMNO Pulau Pinang hari ini mahu Datuk Shabudin Yahaya melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Tasek Gelugor susulan tindakannya keluar parti itu semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata tindakan Shabudin  keluar parti amat mengecewakan seluruh anggota UMNO Pulau Pinang terutama di Tasek Gelugor dan menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan kepada pengundi.

“Beliau bertanding pada pilihan raya umum lepas atas tiket UMNO dan Barisan Nasional, bukannya atas kapasiti peribadi dirinya sendiri atau calon Bebas. Jadi, saya cabar beliau supaya letak jawatan sebagai Anggota Parlimen Tasek Gelugor dan beri peluang kepada orang lain untuk bertanding semula,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu.

Selain Shabudin, mereka ialah Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor Muhamad Yusoff Mohd Noor yang turut hadir pada sidang media itu berkata keputusan Shabudin untuk keluar UMNO mengejutkan pihaknya.

Namun, katanya, UMNO bahagian itu akur terhadap keputusan Shabudin dan akan meneruskan perjuangan parti itu terutama dalam membantu penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor Nor Hafizah Othman dalam kenyataan berkata anggota Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor berpendirian teguh untuk terus setia bersama parti.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.