Rakyat Sangsi Integriti Pemimpin Lompat Parti – Azhari

SHAH ALAM, 15 Dis – Masalah yang menghimpit kehidupan seharian rakyat bukan mudah boleh diselesaikan dengan cara pemimpin terutama wakil rakyat keluar parti, tegas Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Bahkan katanya, tindakan itu akan menyebabkan rakyat sangsi dengan integriti wakil rakyat pilihan mereka sendiri.

“Patah tumbuh hilang berganti. Itulah adat dan hukum kehidupan ini. Kita tidak seharusnya fokus kepada ahli-ahli yang tidak mahu lagi bersama kita berjuang demi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera tetapi fokuslah kepada rakyat yang semakin tertekan dengan pelbagai isu semasa hari ini.

“Saya tidak nampak dengan melompat keluar parti, masalah rakyat akan dapat diubah dengan mudah melainkan akan menyebabkan rakyat sangsi dengan pemimpin yang mereka pilih.

“Jika pemimpin yang diundi boleh berpaling tadah daripada perjuangan yang suci, bagaimana dengan nasib rakyat, adakah pemimpin yang dipilih boleh diharapkan lagi,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini, mengulas mengenai tindakan beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin UMNO Negeri Sabah meninggalkan parti.

Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan hari ini sering mengungkapkan tentang integriti melibatkan agensi kerajaan yang dipimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tetapi adakah tindakan meninggalkan parti yang berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air ini sebagai mendukung integriti yang kuat.

Justeru itu katanya walaupun kecewa dan terpempan dengan berita pemimpin UMNO Sabah keluar parti, pendukung parti harus optimis untuk terus berjuang di kala parti sedang diuji.

“Kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin saya ucapkan selamat berjaya dalam memperkasa parti kita bagi memastikan agenda Bumiputera terus relevan.

“Begitu juga kepada sayap Pergerakan Pemuda UMNO Sabah saya ucapkan tahniah kepada anda semua kerana masih percaya dengan perjuangan UMNO. Kepada lain-lain sayap yang masih belum membuat keputusan saya juga ucapkan selamat berjaya,” ujarnya.

Azhari turut berpesan agar jangan mudah putus asa dengan keadaan yang berlaku kerana setiap perjuangan sudah pasti ada ujian dan dugaan yang mendatang.

“Rapatkan barisan kita kerana esok menjanjikan peluang yang baru, InsyaAllah,” yakinnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.