Desakan Agar Pemimpin Bercuti Hanya Akan Menjayakan Agenda Untuk Hancurkan UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, mendesak supaya pemimpin bercuti atau berundur ketika ini tidak akan menyelesaikan masalah malah desakan itu sebenarnya menjayakan matlamat parti lawan untuk melihat UMNO terus berpecah-belah.

Jelas beliau, dalam keadaan UMNO sedang menghadapi pelbagai cabaran begini, seharusnya semua pemimpin dan ahli UMNO di pelbagai peringkat mesti memelihara perpaduan serta bersama bertanggungjawab memulihkan semula UMNO.

“Memang bukan mudah memimpin di ketika UMNO sudah tiada kuasa… sudah tiada apa termasuk kedudukan atau pangkat yang boleh diberi bagi menguatkan dan mengikat ahli parti ketika ini. Hanya kesetiaan serta perpaduan sesama kita sahaja akan membantu menguatkan parti ketika ini.

“Oleh yang demikian, berilah kepercayaan kepada Presiden dan pimpinan tertinggi parti ketika ini untuk memulihkan keadaan.

“Sepatutnya tidak timbul kononnya Presiden UMNO gagal menjelaskan hala tuju kerana ianya telahpun Presiden UMNO bentangkan semasa PAU 2018 lalu iaitu UMNO mahu ‘menang dan kembali menjadi kerajaan’. Semuanya hanya akan berjaya jika kita kekalkan perpaduan dan tingkatkan kesetiaan kita pada Parti UMNO,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Shamsul turut membidas Ahli Parlimen yang bertindak keluar parti dan mengkhianati amanah yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Walau apapun alasan yang diberikan oleh Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti, mereka tetap dianggap tidak setia dan tidak amanah kepada Parti UMNO dan rakyat yang telah mengundi mereka pada PRU lalu.

“Hamzah Zainudin contohnya… dia tidak berhak lagi mencampuri urusan UMNO kerana beliau bukan lagi pemimpin UMNO. Malah ugutan beliau bahawa akan ada lagi Ahli Parlimen UMNO akan melompat parti dengan sendirinya mengesahkan bahawa beliaulah perancang kepada segala yang berlaku malah beliau mempunyai agenda melalui apa yang beliau lakukan,” tegas beliau.

Justeru, beliau menyeru dan berharap semua ahli UMNO terus bertenang dan percaya bahawa hanya mereka yang setia serta memahami idealisme perjuangan UMNO sahaja akan kekal dalam UMNO.

Manakala yang punyai agenda peribadi serta membelakangkan parti dengan sendirinya akan meninggalkan parti UMNO yang keramat ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.