Fokus Hala Tuju, Bukan Rundingan Pintu Belakang – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan tegas berkata bahawa UMNO tidak perlu menjual maruahnya dengan mengambil jalan pintas dan tergesa-gesa untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang.

Gesanya, sebarang usaha segelintir pihak untuk berunding mengenai perkara sedemikian sama ada dengan proksi Tun Mahathir mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim harus segera dihentikan.

“Selagi wujud usaha sebegini, selagi itulah UMNO dilihat tiada hala-tuju dan bakal berpecah dengan lebih parah.

“Lebih membimbangkan sekiranya berjaya sekalipun perundingan dengan mana-mana pihak, UMNO akan dihukum lebih dahsyat oleh rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana dilihat tidak berprinsip dan UMNO dinilai sebagai parti bermatlamatkan kuasa semata-mata.

“Mungkin ada baiknya untuk UMNO belajar daripada daya tahan Pas yang kekal utuh dengan prinsip perjuangan walaupun sudah lebih 60 tahun menjadi pembangkang. Sedangkan UMNO baru sahaja tujuh bulan sudah berantakkan dan begitu goyah berhadapan tekanan,” katanya dalam satu kenyaatan media, di sini hari ini.

Jelas Asyraf lagi, sudah tiba masanya UMNO fokus terhadap usaha pengislahan dan pemerkasaan parti untuk menjadi pembangkang berwibawa demi rakyat dan sebagai agen ‘semak dan imbang’ yang berkesan kepada kerajaan.

“Ini bermakna UMNO harus bermula dengan proses muhasabah dengan menginsafi segala kesilapan dan salah laku kita terdahulu sekaligus memohon maaf kepada rakyat atas segala keterlanjuran.

“Hakikatnya, rakyat bukan menolak perjuangan kita. Kekalahan kita berpunca daripada pelbagai imej negatif yang berjaya dipahat dalam minda rakyat mengaitkan UMNO dengan sikap angkuh dan bongkak lantaran terjebak dalam segala bentuk penyelewengan, korupsi dan masalah integriti.

“Kini, UMNO sudah menerima hukuman melalui keputusan rakyat dalam PRU-14 lalu. Yang penting sekarang untuk UMNO melalui proses ‘penyucian’ dan transformasi dalaman agar dapat kembali bangkit meraih kepercayaan rakyat demi perjuangan memelihara kepentingan Islam, martabat Melayu Bumiputera dan kesejahteraan negara dengan kepelbagaian agama dan kaum,” ujarnya.

Asyraf juga melihat senario mutakhir yang berlaku kepada politik UMNO negeri Sabah perlu diberi perhatian serius dari pucuk pimpinan bagi menanganinya.

“Buat yang meninggalkan parti, ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak. Moga kalian kecapi apa yang dihajati,” katanya.

Manakala bagi Pemuda UMNO, jelasnya, mereka kekal berpendirian sebagaimana dalam Ucapan Dasar Pemuda yang disepakati bersama iaitu tidak sesekali menjadi ‘seludang menolak mayang’ meninggalkan parti yang banyak berjasa.

“Malah Pemuda akan terus setia bersama wadah keramat UMNO bak kata pujangga ‘sakit sama mengaduh, luka sama mengeluh.’

“Sekalipun jika di waktu itu semua beralih arah meninggalkan UMNO dan kalian menoleh ke belakang, hanya seorang sahaja yang masih tinggal memegang panji UMNO, maka dialah Pemuda UMNO,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.