Situasi Di Sabah Buka Ruang Baharu Landskap Politik UMNO


KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah melihat situasi terkini yang melanda parti di Sabah telah membuka satu ruang yang baharu dalam landskap politik UMNO.

Menurutnya, secara tidak langsung ia memberi peluang kepada wajah-wajah baharu dan generasi pewaris perjuangan untuk meneruskan kepimpinan parti serta perlu pendekatan baharu dalam memperkukuhkannya.

“Kerana UMNO perlukan rejuvenasi selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Pendekatan lama tidak boleh diguna pakai lagi. Kena ada pendekatan baru dalam mendapat sokongan kembali.

“Ini masa anak muda khususnya di Sabah diangkat dan diberikan peluang untuk memimpin UMNO. Jika kita lihat sudut ini, baru akan ada peluang muka baru untuk diangkat pada PRU15 akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebooknya, mengulas mengenai tindakan ramai pemimpin parti negeri Sabah yang bertindak keluar parti hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Subang itu turut yakin terdapat ramai lagi generasi pewaris perjuangan UMNO untuk memacu parti jika diberikan peluang dan ruang.

“Pada pendapat saya lebih baik kita fokus pengukuhan UMNO sebagai pembangkang bagi persiapan menghadapi PRU15.

“Kita lupakan sahaja untuk gabung dengan mana-mana parti terutama dalam Pakatan Harapan,” tegasnya sambil diakhiri dengan ungkapan ‘Sila Duduk Jangan Lari’. – Media UMNO