Langkah Pertama.. Kenal Pasti Mereka Yang Masih Setia Bersama UMNO – Bung Mokhtar


KINABATANGAN, 13 Dis – Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau akan mengenal pasti semua exco serta pemimpin pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang masih kekal bersama UMNO Sabah sebagai langkah pertama selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.

Jelas beliau, ini adalah bagi mencari satu pendekatan ke arah bagaimana memperkukuhkan bahagian-bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Dalam suasana sekarang ini ada yang kata keluar dan tidak ada yang menafikan jadi kita kenalpasti dahulu,” katanya secara eksklusif kepada BNPportal.com hari ini.

Tambah beliau proses mengenal pasti ini akan mengambil masa satu hingga dua minggu kemudian barulah semua barisan kepimpinan Sabah yang baru ini akan turun buat penerangan dan penjelasan kepada akar umbi.

Ini kerana jelas Bung Moktar beliau yakin ramai lagi akar umbi yang masih bersama-sama dalam UMNO.

Ketika ditanya tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan UMNO kepadanya untuk merajui Sabah, beliau menyifatkan ia satu amanah yang tidak akan disia-siakannya.

“Menggalas tanggungjawab dan amanah walaupun saya rasa amat berat sebab walaupun kalah dalam pilihan raya dan kemudian kita ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan bak kata pepatah Melayu ‘Sudah jatuh ditimpa tangga’ UMNO Sabah ini.

“Bak kata orang-orang tua ‘Berpatah sayap bertongkatkan paruh’ namun perjuangan UMNO di Sabah kena diteruskan.

“Dan saya berkesempatan berhubungan dengan rakan-rakan yang masih setia dengan UMNO dan mereka bekerjasama dan bersama-sama menggalas tanggungjawab ini kerana terdapat 3-4 ketua bahagian yang tidak meninggalkan UMNO. Insya Allah kami akan duduk berbincang untuk mengatur strategi, jentera UMNO di semua peringkat.

“Saya yakin UMNO Sabah boleh bangkit semula untuk membawa arus perubahan kepada masyarakat di Sabah nanti,” ujarnya.

Kepada mereka yang memutuskan untuk meninggalkan UMNO ini ucapannya kepada mereka:-

“Well kepada saya kita hormati pendirian mereka walaupun kita berasa sedih tetapi bak orang kata ‘Life must go on’.

“UMNO Insya Allah kawan tetap kawan, lawan tetap lawan kita akan terus memastikan bahawa UMNO masih ada peluang untuk membawa arus perubahan di negeri Sabah,” katanya di akhir perbualan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.