Enam Bulan Dikaitkan Pelbagai Tuduhan, Semuanya Tidak Benar – Hishammuddin


KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan sekeras-kerasnya beliau mempunyai kaitan dengan situasi terkini politik di negeri Sabah.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO tampil menjelaskan keadaan sebenar setelah pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya termasuklah dari sebuah portal ‘bebas’.

“Terdapat begitu banyak tuduhan terhadap saya mengenai UMNO dalam enam bulan yang lepas, semuanya tidak benar.

“Perkembangan terkini di Sabah, saya dikaitkan sekali lagi. Tegas saya katakan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan terhadap keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, ramai pemimpin parti negeri Sabah termasuk Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Bahagian serta beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan keluar UMNO dan dilaporkan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Rentetan dari itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil berkata bahawa UMNO Sabah tidak akan terbubar walaupun beberapa pemimpin UMNO negeri itu keluar parti.

Manakala Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.

Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan, Ketua Penerangan disandang oleh Ketua UMNO Bahagian Tenom, Raimi Unggi dan Timbalan Ketua UMNO Kinabatangan, Jeffry Ariffin sebagai Setiausaha Badan Perhubungan. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.