Pemuda UMNO Sabah Terus Istiqamah Kekal Utuh Bersama Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Pemuda UMNO Sabah hari ini menzahirkan pendirian untuk tetap kekal utuh bersama perjuangan parti UMNO.

Ketuanya Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, Pemuda UMNO Sabah bertekad untuk menjadi benteng terakhir parti ini seiring dengan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang dipersetujui sewaktu di Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang lalu.

“Walaupun sebahagian daripada ahli UMNO telah mengambil keputusan untuk keluar tetapi kami selaku pendokong parti ini setelah sekian lama akan kekal bersama dan terus melakar perjuangan parti UMNO di negeri di Bawah Bayu ini.

“Kami juga bersedia untuk mengisi segala ruang yang ditinggalkan oleh mereka yang telah meninggalkan perjuangan serta amanah yang telah diberikan”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, beliau ingin menyeru sahabat-sahabat Pemuda UMNO Sabah supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan berita ini.

Jelasnya Pemuda UMNO Sabah harus istiqamah dengan perjuangan parti UMNO dan tidak akan berganjak kerana percayalah UMNO masih disayangi oleh majoriti rakyat negeri ini.

“Pasca PRU-14 yang lalu menzahirkan kehendak rakyat yang mahukan perubahan radikal terhadap pucuk kepimpinan UMNO di semua peringkat termasuk di negeri Sabah ini agar ia lebih berwajah baru, punyai imej yang bersih, berintegriti tinggi dan bebas daripada sebarang skandal penyelewangan yang memualkan rakyat.

“Inilah masanya yang terbaik untuk UMNO Sabah melakukan penjenamaan baru dan sekaligus mendapat kembali kepercayaan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi walaupun berdukacita dengan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang mengumumkan seramai 23 Ketua UMNO Bahagian, semua Ketua Wanita dan Ketua Puteri Bahagian UMNO serta sembilan orang Ketua Pemuda Bahagian Negeri bertindak mengambil keputusan untuk keluar parti akan tetapi ia tidak akan merobek Pemuda UMNO Sabah untuk terus mempertahankan parti keramat ini.

“Kami akui, perancangan yang menjurus kepada keputusan ini telah lama dibincangkan di Negeri Sabah dalam usaha mempengaruhi kepimpinan UMNO Sabah untuk menyokong kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

“Elemen yang menjadi punca utama kepada keputusan besar ini adalah daripada menifestasi kekecewaan mereka terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan tidak mempunyai hala tuju jelas buat parti khususnya untuk UMNO Negeri Sabah lantas menyumbang kepada kehilangan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Pusat dan mengambil keputusan drastik untuk keluar daripada parti.

“Walau bagaimanapun, kami Pemuda UMNO Sabah ingin menegaskan pendirian kami yang masih kekal utuh bersama perjuangan parti UMNO,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.