UMNO Sabah Tetap Kekal, Tidak Timbul Isu Dibubarkan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan UMNO Sabah tetap kekal di sebalik desas-desus mengenai pembubaran UMNO di negeri berkenaan dan beliau pada masa yang sama menegaskan isu pembubaran UMNO negeri tersebut tidak berbangkit.

“Berkaitan ‘rumours’ UMNO Sabah, parti tidak berhasrat untuk mengekang atau menghalang cuma pendapat secara rasmi ialah barang siapa keluar daripada UMNO tempatnya serta merta akan diganti oleh orang lain dan mereka yang baru akan terus memikul tanggungjawab menghidupkan UMNO di Sabah.

“Saya dah dapat jaminan daripada majoriti pemimpin-pemimpin UMNO terutama di kalangan orang muda mereka mahu UMNO diteruskan dan mereka telah memberi kesanggupan untuk meneruskan.

“Jadi kita serahkan kembali kepada kawan kawan kita di Sabah untuk membuat keputusan tetapi keputusan itu atas sifat peribadi mereka masing-masing. Mereka tidak boleh ‘drag’ UMNO Sabah dan keputusan hanya boleh dibuat oleh MT. Itu kedudukannya,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah perbincangannya bersama pimpinan UMNO Sabah sebelum ini telah diadakan dalam usaha menyelami perkara yang timbul.

“Perbincangan beberapa hari lepas dengan beberapa Ketua bahagian termasuk Pengerusi dan juga Setiausaha Perhubungan dan mereka menjelaskan kepada saya permasalahan yang mereka hadapi dan permasalahan itu agaknya kompleks dan unik kepada politik Sabah.

“Saya atas arahan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah mengadakan perbincangan hati ke hati dengan mereka. Saya juga mendengar pandangan bukan sahaja daripada Ketua-ketua bahagian tetapi saya juga mengadakan perjumpaan berasingan dengan ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri. Tujuannya untuk saya memahami secara mendalam apakah masalah yang mereka sedang hadapi,” ujarnya.

Tambah beliau lagi rumusan yang boleh disimpulkan ialah politik di Sabah agak unik serta agak tersendiri dan mereka daripada Sabah yang lebih mengetahuinya.

“Apa yang dapat saya selami mereka mahu berada bersama yang berkuasa kerana pelbagai perkara termasuk peruntukan. Kita UMNO terpaksa berterus terang…kalau soal wang kita tidak ada malah semua akaun kita dibekukan.

“Kalau soal kuasa semua tahu kita bukan lagi kerajaan. Kalau mahu duduk dengan kerajaan kalau matlamat politiknya mahu dengan kerajaan kita, UMNO terpaksa berterus terang. Kita tidak dapat memenuhi perkara itu”, katanya.

Jelas beliau UMNO tidak mempunyai sebarang ikatan seperti mana parti lain.

“Kita tidak ada kontrak, baiah, tidak ada ikatan cuba menyekat wakil rakyat UMNO daripada berhijrah kepada mana mana parti.

“Di peringkat parti kita buat penegasan kita akan kekal sebagai sebuah parti pembangkang membina semua kekuatan kita membuat persiapan untuk PRU 15. Perjalanan politik itu panjang jadi bagi yang mahu terus berjuang di dalam UMNO kalaupun tidak jadi wakil rakyat hari ini mungkin akan jadi wakil rakyat pada masa akan datang,” ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.