TH Itu Tabung Haji, Bukan Tabung Harapan Untuk PH Politikkan


KUALA LUMPUR, 11 Dis – Singkatan TH amat sinonim dengan Tabung Haji dan bukannya Tabung Harapan untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jadikannya bahan politik, sinis Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Justeru, Najib dalam entri terkini di Facebooknya melihat kerajaan PH untuk menjadikan TH sebagai bahan politik bukan langkah bijak malah ia adalah satu langkah yang bahaya.

“Jika pengurusan TH dahulu dan juruaudit-juruaudit TH benar-benar bersalah, sila siasat dan ambil tindakan tetapi jangan politikkan.

“Pada masa ini, kerajaan PH patut menyakinkan pencarum-pencarum TH dan menghentikan kenyataan dan pengumuman yang negatif mengenai TH,” ujarnya.

Najib juga dengan tegas mengatakan langkah kerajaan PH semalam untuk mempolitikkan TH dengan mendakwa agensi itu telah terlebih bayar dividen untuk empat tahun berturut-turut sehingga mengalami defisit RM4.1 bilion serta asetnya sedang dijual bukan satu langkah yang bijak.

“Lebih-lagi jika defisit ini sudah diselesaikan seperti diumum oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusuf Rawa semalam juga.

“Bagaimana dia selesaikan dan mengapa cepat sangat boleh diselesaikan? Itu perkara lain yang dia harus jawab,” kata Najib.

Mengulas lanjut mengenainya, Najib memerhatikan media di bawah kawalan kerajaan pagi ini terus memainkan isu TH dan ada yang memetik bahawa sebanyak 30% dari pelaburan TH di dalam saham disenarai telah mengalami kejatuhan nilai melebihi 50%.

“Pada ketika nilai pelaburan TH telah jatuh dengan banyak akibat penurunan berterusan Bursa Malaysia selepas pelabur-pelabur asing tidak berhenti untuk menarik dana mereka keluar selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum 14), keyakinan terhadap TH tidak perlu ditambah lagi kejutan oleh kerajaan PH.

“Langkah ini telah menghakis kepercayaan pencarum-pencarum terhadap TH sehingga ada kemungkinan berlakunya ‘bank run’ ataupun pengeluaran deposit secara beramai-ramai.

“Kalau ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas,” tegasnya. – Media UMNO