Isytihar Hibah 2014 – 2017 Tidak Langgar Akta Tabung Haji 1995

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini mempersoalkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa kononnya pengurusan terdahulu telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dengan tidak mengikut Akta Tabung Haji 1995.

Menurut beliau pengurusan TH terdahulu tidak melanggar akta berkenaan dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa kerana Menteri tidak mengambil kira laporan Ernst &Young (EY) dalam menilai nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

“Apa yang diambil kira hanya laporan kewangan semata-mata. Bagi tahun 2015, nilai realis aset adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion yakni ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion.

“Nilai aset realis pada tahun 2016 adalah sebanyak RM69.1 bilion manakala agregat liabiliti setelah mengambil kira hibah 2016 adalah sebanyak RM68.4 bilion maka ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.

“Bagi tahun 2017, nilai aset realis adalah sebanyak RM74.7 bilion berbanding aggregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion maka ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Tegas Azeez Berdasarkan laporan kewangan Price Waterhouse Coopers (PWC) yang dibuat pada ogos 2017 yang diberikan kepada setiap Ahli Parlimen semalam, juga ada terkandung laporan EY yang menunjukkan aset TH melebihi liabiliti untuk ketiga-tiga tahun (2015, 2016, 2017).

Jelas beliau lagi mengikut peruntukan seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995, aset Kumpulan Wang tidak kurang daripada jumlah liabiliti Kumpulan Wang, amaun yang kena dibayar kepada pendeposit dikira seolah-olah kena dibayar dengan serta-merta.

“Sejak 2015, TH telah menilai semua aset pada nilai realis (nilai pasaran semasa) dan bagi tiga tahun yang lepas, berdasarkan laporan yang disahkan oleh firma audit luar, nilai aset tabung haji melebihi semua liabiliti. Untuk makluman, nilai realis aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal.

“Maka Tabung Haji telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi sebarang undang-undang.

“Penyata kewangan yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun belum mengambil kira kesemua aset pada nilai pasaran terkini kerana pelaburan dalam anak syarikat, syarikat usahasama, syarikat bersekutu dan hartanah masih dinyatakan pada nilai kos asal.

“Penilaian yang dinyatakan semalam berbeza daripada apa yang dibuat oleh TH, iaitu beliau tidak mengambil kira nilai pasaran terkini,” ujarnya.

Ujarnya lagi apa yang dibuat oleh TH terdahulu adalah tidak salah kerana penilaian tersebut disahkan oleh tetuan EY yang sangat profesional serta beretika dan selain EY, laporan dan kedudukan kewangan TH telah disemak oleh Jabatan Audit Negara (JAN) yang kemudian memperakukannya melalui sijil bersih setiap tahun kepada Tabung Haji.

“Perlu diingatkan bahawa badan berkanun mestilah tertakluk kepada Ketua Audit Negara dalam urusan dan pengesahan audit. Ini jelas termaktub dalam Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan 1980) sepertimana dinyatakan dalam Seksyen 5(1) dan 5(2) serta Seksyen 6.

“Sekalipun wujud perbezaan pandangan dan tafsiran mengenai dasar perakauanan dalam penilaian aset antara EY dan Price Waterhouse Coopers (PWC) seperti yang dirujuk oleh Menteri, akhirnya laporan muktamad adalah berdasarkan pengesahan Jabatan Audit Negara. Selain itu, pelbagai langkah lain turut diambil bagi memelihara kewibawaan dan amanah termasuk penubuhan Jabatan Integriti di TH,” tambahnya.

Berhubung keadaan pasaran saham merudum teruk pada tahun 2018, Azeez menambah ia bukanlah kerana kelemahan pengurusan terdahulu tetapi disebabkan faktor ekonomi luar dan dalam negara yang kesannya dirasai oleh semua agensi.

“Persoalannya apa pengurusan baharu TH telah lakukan untuk mengatasi cabaran dan keadaan ini? Berapakah keuntungan yang dijana sejak bulan Julai 2018?

“Saya hairan mengapa Menteri dan pengurusan tertinggi TH yang baharu masih ghairah mahu mencari kesalahan pengurusan terdahulu sehingga sanggup melemparkan tohmahan dan memainkan sentimen liar.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi Menteri membuat kenyataan tanpa siasatan yang lengkap terlebih dahulu. Janganlah asyik mengambil pendekatan menggunakan media bagi mengelirukan dan meresahkan rakyat terutamanya kepada 9.3 juta pendeposit TH,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kakitangan TH atas komitmen dan kerja keras dalam memastikan para pendeposit menerima hibah terbaik daripada simpanan serta pelaburan mereka tanpa melanggar undang-undang.

“Saya bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengurusan TH dan pihak berwajib termasuk bagi tujuan siasatan jika diperlukan bagi menjaga kesucian dan nama baik Tabung Haji yang selama ini diiktiraf oleh seluruh dunia,” katanya. MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.