Speaker Putuskan MP Cameron Layak Hadir Sidang Dewan

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menarik balik keputusannya sebelum ini yang tidak membenarkan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh untuk menghadiri sidang Parlimen selepas kemenenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum yang lalu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan Speaker itu mendapat tepukan gemuruh daripada blok pembangkang.

“Kesimpulannya…keperluan untuk hakim mahkamah pilihan raya memperakukan keputusan kepada SPR dalam masa 14 hari adalah satu kehendak mandatori sebelum keputusan tersebut dianggap muktamad.

“Mahkamah pilihan raya tidak akan mengeluarkan perakuan sekiranya rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari.
“Dalam hal ini memandangkan YB Cameron Highlands telah menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan, perakuan tidak akan dikeluarkan oleh mahkamah
Pilihan Raya dan akan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas proses rayuan selesai.

“Oleh kerana Suruhanjaya Pilihan Raya hanya akan mengisytiharkan sesuatu kerusi sebagai kosong selepas menerima perakuan daripada mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai YB Cameron Highlands masih dianggap sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Jelas beliau, Mahkamah Persekutuan mempunyai tempoh sehingga enam bulan bagi membolehkan membuat keputusan selepas rayuan di buat sehingga itu Sivarrajh dibenarkan menjadi Ahli Parlimen yang sah dan bebas menghadiri sidang Dewan.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kemudian bangun mencelah dengan mengucapkan tahniah kepada Ariff kerana berjaya membuat satu keputusan yang tepat dan profesional.

“Datuk Yang Dipertua saya mengucapkan syabas dan tahniah kerana inilah langkah profesional yang dilakukan oleh Yang Dipertua. Ini satu keadilan dimana ahli-ahli parlimen pembangkang telah menyatakan dibawah perkara 36 (1) (2) (3) dan 36 (b).

“Sekarang ini memperlihatkan tempoh 14 hari adalah tempoh yang kami tekankan sebelum rayuan dilakukan. Dalam perkara ini mengakulah pihak sana bahawa kemenangan adalah kemenangan rakyat keseluruhan,” ujar beliau. – MediaUMNO