Himpunan Aman Bukan Soal ICERD Semata-mata, Tapi Untuk Pertahankan Teras Kejayaan Negara

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata perhimpunan 8 Dis ini bukan soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semata-mata malah perhimpunan tersebut adalah soal mempertahankan diri sebagai rakyat Malaysia.

Beliau menekankan penentangan terhadap ICERD bukanlah hanya soal Melayu atau Islam sebaliknya adalah soal mempertahankan apa yang telah dilaksanakan selama ini menerusi formula Perlembagaan negara yang telah menghasilkan nikmatnya seperti soal perpaduan kaum.

Bukan itu sahaja malah tegasnya negara lain melihat bagaimanakah sebuah negara yang begitu sekali plural sifatnya dapat hidup aman damai tanpa menimbulkan sebarang konflik agama mahupun kaum.

“Perhimpunan ini adalah mengenai rakyat Malaysia dan bukanlah mengenai mana-mana parti politik atau mana-mana badan yang menganjurkan. Perhimpunan ini adalah satu perhimpunan yang menyentuh hampir setiap individu rakyat di dalam negara kita. Ini kerana sewaktu kita membina negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka, soal diskriminasi adalah soal ‘central‘ isu. Perkara yang paling pokok sekali.

“Sebelum ada ICERD kita lebih awal sebagai sebuah negara yang memikirkan bahawa kita menolak sebarang bentuk diskriminasi. Soalnya adalah cara bagaimana mahu memastikan soal diskriminasi itu tidak terwujud. Sama ada diskriminasi dari sudut minoriti dan majoriti, antara kaum, warna kulit, agama dan sebagainya sehinggakan antara pelbagai kaum itu wujud konsensus.

“Kemudian di dalam Perlembagan itu ditulis kaedah dan cara-cara kita untuk melindungi semua rakyat dan memastikan tidak ada diskriminasi. Pada waktu itu lagi sehinggalah terbentuknya Malaysia kita sentiasa memikirkan bagaimana untuk memberikan hak kepada semua sekali rakyat Malaysia sammada hak kerakyatan dan sebagainya termasuklah ekonomi dan sebagainya.

“Jadi penentangan kita kepada ratifikasi ICERD ini bukan semata-mata soal Melayu atau Islam sahaja sebaliknya adalah soal mempertahankan diri kita sebagai orang asli, mempertahankan diri sebagai orang Hindu, mempertahankan diri kita sebagai orang Islam, mempertahankan diri kita sebagai orang Iban, Kadazan dan sebagainya lagi. Kita tahu formula yang telah ada inilah menjadikan kita seperti hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Diskusi U3.0 yang dihoskan oleh Tun Faisal Ismail Aziz mengupas tajuk ‘812…Hari Perhimpunan Rakyat’ yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi.

“Kalau kita tidak dapat menyumbang banyak asalkan kita dapat datang dengan apa sahaja cara asalkan berpakaian putih dan pijak kaki di bumi Kuala Lumpur itu sudah cukup untuk sumbangan kita. Ini soal perlembagaan secara keseluruhan yang mana merangkumi semua kaum,” ujarnya.

“Jangan kita semata-mata nak ikut kerana orang suruh kita ikut. Negara Malaysia, rakyat Malaysia mesti mempunyai jati diri kita sendiri. Ada perkara yang baik di peringkat antarabangsa maka baiklah tetapi kita tidak boleh cedok 100 peratus. Ada sembilan konvensyen yang pelbagai kenapa kita nak sibuk tentang ICERD…ada konvensyen tentang diskriminasi gender, ada konvensyen tentang diksriminasi orang kurang upaya dan sebagainya jadi kenapa yang ini kita nak sibuk sedangkan kita tidak ada masalah berkenaan?

“Jangan lupa rakyat tidak mengubah kerajaan untuk ICERD diratifikasikan… Rakyat tidak menukar kerajaan untuk kita tunduk kepada ICJ, rakyat tidak menukar kerajaan kerana hal-hal yang berkaitan dengan diskriminasi. Rakyat tukar kerajaan atas perkara-perkara yang semua rakyat lebih tahu. Jadi jangan ambil tiket kononnya kita sekarang dalam kerajaan kita nak ‘smuggle’ masuk ideologi yang tidak diterima rakyat,” katanya.

Katanya lagi kuasa akan kembali kepada rakyat dan rakyat bangkit jika mereka terus memaksa dengan perkara-perkara yang bukan menjadi citarasanya kerana citarasa rakyat mahukan harga barang lebih murah, peluang pekerjaan lebih banyak, rumah-rumah yang lebih banyak, tekanan hidup yang lebih rendah, sistem cukai yang lebih selesa dan sebagainya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.