Usahlah Bimbang, Jangan Pandang Himpunan Aman 8 Dis Ini Penuh Syak Wasangka


SHAH ALAM, 5 Dis – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari meminta orang ramai untuk tidak melihat Himpunan Aman 8 Dis ini dengan penuh syak wasangka kerana ia adalah himpunan kesyukuran apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memaklumkan tidak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Katanya, UMNO sentiasa bersikap rasional dan tidak menimbulkan protes yang akan menyebabkan negara kacau-bilau.

“Apabila berlaku peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), parti UMNO bersikap rasional dan tidak menimbulkan protes yang menyebabkan negara kacau-bilau,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam hal ini beliau mengambil analogi filem karya dan arahan Tan Sri P. Ramlee yang sememangnya mengandungi kritikan sosial padat dan tepat ke sasarannya.

“Filem Tiga Abdul sebagai contoh memang sesuai untuk dikaitkan dengan situasi hari ini. Sebagai contoh terma perjanjian saudagar penipu dengan peguamnya yang bakal mendapat 25% berjaya memperdaya Abdul Wahab dan Abdul Wahib.

“Dari seorang yang mempunyai harta beratus juta pound sterling akhirnya menjadi tukang urut dan macai saudagar. Semuanya berpunca dari rasa marah yang mudah dimanipulasi oleh pihak yang terkenal dengan tipu daya.

“Sehubungan dengan itu kita perlu berhati-hati untuk menerima terma yang hanya akan menguntung sebelah pihak sahaja. Hari ini ratifikasi ICERD menjadi isu besar dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.”

Sebenarnya, kata beliau, kita tidak perlu mengulas tentang ratifikasi antarabangsa tersebut kerana kita berada dalam acuan yang berbeza sama sekali dengan lain-lain negara yang tidak mempunyai Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial sama seperti negara kita.

“Perlembagaan Persekutuan bukanlah peruntukan yang dideraf sesuka hati tanpa memikirkan kepentingan masa depan negara ini.

“Semasa Perlembagaan Persekutuan ini diwujudkan kita masih belum merdeka dan masih berada dalam cengkaman sistem penjajah. Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan telah berjaya menghasilkan Perlembagaan Persekutuan yang adil untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai syarat kemerdekaan negara ini. Manakala orang bukan Melayu di bawah konsep Jus Soli mendapat kerakyatan secara automatik.”

“Negara ini mempunyai sejarah tersendiri dek kerana orang Melayu sanggup bertolak ansur dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk agama, budaya dan kuasa politik.”

Selaras dengan itu, beliau menyeru semua ahli-ahli UMNO khususnya ahli-ahli bahagian Shah Alam agar dapat bersama-sama merapatkan barisan ke ‘Himpunan Rasaksa’ yang melibatkan umat Melayu.

“Jagalah tingkah laku dan kata-kata kita agar tiada pihak yang cuba menimbulkan provokasi dan rusuhan.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.